Zed Zaidi.
Zed Zaidi.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyeru lebih 7,000 ahlinya untuk terus mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sepanjang menjalankan sesi penggambaran atau apa saja aktiviti seni.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, pematuhan SOP penting bagi mengelak penyebaran wabak Covid-19 menular kepada semua kru ataupun artis yang terbabit dalam kerja-kerja seni yang dilakukan.

"Seniman akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk pemantauan terhadap aktiviti seni yang dijalankan bagi menjamin keselamatan dan pematuhan SOP yang ditetapkan.

"Saya percaya ahli-ahli kami akan sedaya-upaya mematuhi segala SOP yang ditetapkan bagi melancarkan sebarang aktiviti seni di lapangan," katanya.

Seniman turut melahirkan perasaan gembira dan berterima kasih dengan keputusan kerajaan membenarkan penggiat industri kreatif yang lengkap dua dos vaksin di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kembali bekerja mulai hari ini.

"Seniman ingin merakamkan jutaan terima kasih kerana mendengar rintihan kami yang sekian lama terkesan dengan penutupan sektor ini.

"Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru saja dilantik, namun beliau pantas membuat keputusan yang memihak kepada kami yang amat terkesan dengan pandemik Covid-19," katanya.

Selain itu, Seniman turut berterima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang baharu, Tan Sri Annuar Musa atas inisiatif dan keprihatinan yang diperlihatkan.

"Beliau dengan pantas membawa isu industri kreatif ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dibincangkan pembukaan semula sektor industri kreatif. Ia amat memberikan kelegaan kepada lebih satu juta penggiat industri kreatif di Malaysia," katanya.

Zed berkata, industri kreatif menjana ekonomi sebanyak dua peratus pada 2019 dengan nilai melebihi RM29 bilion terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia sekali gus menunjukkan industri ini juga adalah salah satu sektor yang menyumbang kepada pendapatan negara.

"Oleh itu, sektor kreatif di Malaysia tidak boleh dipandang ringan dan harus diberikan perhatian oleh kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 4:35 PM