FIFY Azmi bersama kekasihnya, Nafiez Zaidi
FIFY Azmi bersama kekasihnya, Nafiez Zaidi
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Ramai menyangka pelakon, Fify Azmi dan kekasihnya, Nafiez Zaidi melangsungkan pertunangan atau bernikah apabila Fify memuat naik gambar mereka berdua lengkap dengan busana seolah-olah sedang mengadakan majlis itu.

Malah, ramai yang mengucapkan tahniah, lebih-lebih lagi apabila menonton video pelakon itu teruja pertama kali memakai inai yang dimuat naik di media sosial.

Bagaimanapun, Fify menafikan dia bertunang dengan Nafiez yang juga pelakon itu dan menjelaskan perkongsian itu sekadar meluahkan rasa teruja memakai inai tanpa berniat ingin melakukan sebarang gimik.

Pelakon filem Wira itu berkata, dia memakai inai putih sempena majlis pernikahan adik Nafiez di Perlis, baru-baru ini.

"Keterangan gambar yang saya tulis itu bukan bermaksud saya bertunang dengan Nafiez. Memang betul saya tak pernah pakai inai dan itu kali pertama saya pakai. Jadi, saya kongsilah di Instagram.

"Tak pernah ada niat nak 'prank' atau main-mainkan peminat dengan tulisan sebegitu. Saya tulis 'few hours to go' tu pun sebab teruja untuk adik Nafiez yang nikah.

"Ramai peminat, ibu saudara, kawan-kawan dan rakan selebriti DM ucap tahniah sebab ingat saya bertunang. Takkanlah saya nak sorok kalau betul bertunang atau nikah," katanya.

Bagaimanapun, Fify bersyukur apabila ramai yang mendoakan baik-baik buat mereka berdua.

"Kami biasa saja tapi ramai orang komen positif dan suka dengan hubungan kami. Bila orang suka, kami lagi gembira. Cuma sekarang belum ada lagi perbincangan untuk bertunang atau kahwin. Masing-masing tengah sibuk dengan penggambaran.

"Insya-Allah kalau ada jodoh, tak ke mana. Saya dan Nafiez pun dah kenal dengan keluarga masing-masing. Buat apa saya nak berahsia kalau nak kahwin, benda baik kan," katanya.

Fify dan Nafiez mula rapat selepas kedua-duanya bergandingan dalam filem Ada Hantu 2 dan sejak itu hubungan cinta mereka mula dihidu banyak pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 1:19 PM