Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Nafiez Zaidi membawa keluarganya dari Perlis ke kediaman keluarga pelakon, Fify Azmi di Subang Jaya untuk majlis merisik yang berlangsung semalam.

Nafiez ketika dihubungi berkata, dia dan Fify tidak merancang untuk bertunang, sebaliknya akan terus mendirikan rumah tangga apabila tiba masanya.

"Majlis semalam adalah majlis merisik, yang mana mempertemukan keluarga saya dengan keluarga Fify buat pertama kali. Jadi, saya bawa mereka dari Perlis ke Subang Jaya.

"Setakat ini, kami tak ada merancang untuk bertunang. Yang penting, kami dah dapatkan restu daripada kedua-dua belah keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Nafiez, 30, berkata, dia juga akan maklumkan mengenai tarikh perkahwinan sekiranya sudah ditetapkan.

"Ramai juga yang bertanya, bila kami akan berkahwin. Tapi, buat masa sekarang, kami 'chill' dulu dan akan maklumkan tarikhnya apabila semuanya sudah ditetapkan kelak," katanya.

Pasangan Nafiez dan Fify mula rapat selepas kedua-duanya bergandingan dalam filem Ada Hantu 2 dan sejak itu, hubungan cinta mereka mula dihidu banyak pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 3:51 PM