PERTAMA kali adakan konsert di Sabah.
PERTAMA kali adakan konsert di Sabah.
Yun Mikail


PENYANYI popular Indonesia, Datuk Seri Rossa merancang menjalinkan kerjasama dengan pereka fesyen tempatan sempena siri jelajah Konsert Another Journey: The Beginning yang pertama kali diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Disember depan.

Bagaimanapun, pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta ini belum memaklumkan pereka fesyen Malaysia yang menjadi pilihannya.

"Kalau untuk baju, kami akan bekerjasama dengan beberapa pereka fesyen. Saya mahu mencuba rekaan menarik bukan saja dari Indonesia, tetapi pereka fesyen asal Malaysia.

"Kalau konsert di Kuala Lumpur, saya ada bekerjasama dengan pereka fesyen Malaysia iaitu Brian Khoo dan Raffiey Nasir selain menggunakan khidmat Amir Luqman sebagai penata gaya.

"Insya-Allah, kami akan memikirkan kostum berbeza daripada konsert di Kuala Lumpur sebelum ini. Siapa pereka dan bagaimana rekaannya, peminat perlu datang ke konsert nanti untuk melihat sendiri busana yang bakal saya gayakan ketika menyanyi," kata penghibur yang kini popular dengan lagu Lupakan Cinta ciptaan penyanyi, Mahalini.

Rossa sebelum ini membelanjakan RM235,000 untuk membeli busana rekaan pereka fesyen ternama antarabangsa, Iris Van Herpen untuk digayakan pada Konsert Rossa 25 Shining Years.

Rossa berkata demikian dalam sidang media secara dalam talian Konsert Another Journey: The Beginning, baru-baru ini.

Turut serta dalam sidang media sama adalah penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan dan Pengarah Acara Fazzbuzz Events & Media, Fazura Azima Ag Sha.

Mengulas lanjut mengenai fesyen bakal digayakan nanti, Rossa yang lebih 25 tahun bergelar penyanyi berkata, nuansa keseluruhan kostum bagi Konsert Another Journey: The Beginning

adalah berbeza dengan Konsert Rossa 25 Shining Years.

Ibu kepada Rizky Langit Ramadhan itu berkata, baju yang digayakan ketika Konsert Rossa 25 Shining Years adalah glamor kerana ia dibuat untuk meraikan pembabitannya selama 25 tahun dalam bidang seni.

Namun, pada Konsert Another Journey: The Beginning, dia menukar suasana konsert kepada lebih moden bersesuaian dengan sasaran peminat mahupun penonton dalam kalangan generasi muda.

Rossa juga bakal mementaskan Konsert Another Journey: The Beginning di tiga lokasi di Indonesia iaitu Samarinda pada 7 Oktober depan, Makassar (28 Oktober) dan Bandung (1 Disember).

Dalam pada itu, konsert di Sabah juga bakal diserikan dengan penampilan istimewa seorang lagi penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan.

Bakal mendendangkan kira-kira 25 lagu popularnya, Rossa yang juga pengasas produk kecantikan Rossa Beauty menyatakan antara lagu bakal dinyanyikan pada malam itu ialah Pudar, Hey Ladies, Terlalu Cinta, Malam Pertama, Ayat-Ayat Cinta dan Hati Yang Kau Sakiti.

Sementara itu, Fazura Azima berkata, penjualan tiket konsert sudah melebihi 50 peratus sejak mula dijual pada Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 6:45 AM