Presiden Profima, Khalil Salleh
Presiden Profima, Khalil Salleh
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Khalil Salleh mengesahkan pihaknya memang 'mengejar' rumah untuk ahli-ahlinya.

Menurutnya, sejak memegang tampuk kepimpinan Profima hujung Disember lalu, pihaknya sudah berjaya menyelesaikan beberapa isu kecuali rumah.

"Baru-baru ini kami selesaikan proses menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), khairat kematian dan sebagainya. Yang belum selesai hanya bab perumahan. Kami dah jumpa DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan difahamkan kuota mereka dah tiada.

"Kami juga ambil langkah tulis surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Agak terkilan dengan KPKT kerana gagal membantu. Sedangkan kami rakan strategik mereka.

"Selama 30 tahun ditubuhkan, Profima tak pernah dapat sebuah rumah pun untuk ahli. Kami nak yang kos rendah pun memadai," katanya.

Khalil berkata, apa yang berlaku sangat tidak adil buat mereka kerana ada persatuan lain mendapat kuota 60 hingga 80 buah rumah untuk ahlinya.

Terdahulu Khalil pernah berhasrat menjalinkan kerjasama dengan seorang individu bergelar Datuk Seri bagi mendapatkan rumah untuk 50 ahlinya.

Dia tertarik apabila Datuk Seri terbabit menerusi syarikatnya menawarkan skim rumah berharga RM500,000 dengan harga istimewa RM10 atas nama tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terbabit.

Profima bagaimanapun tidak meneruskan hasrat itu kerana tidak yakin dengan penjelasan yang dibuat dan sangat meragukan.

Menurutnya, untuk membuat satu program membabitkan kos berjuta-juta, perlu ada sistem yang betul serta penerangan yang jelas.

"Ini tiada apa-apa pun. Profima dah buat keputusan awal untuk tidak masuk campur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 2:20 PM