FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Kuala Lumpur: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) menerima banyak aduan dan keresahan dikalangan pekerja filem khususnya yang aktif dalam kerja-kerja membabitkan penerbitan program televisyen.

Kebanyakannya tidak dapat bertahan lagi sehingga terpaksa melakukan pelbagai kerja sampingan dan ada yang sudah berpindah serta terpaksa menetap di kampung halaman buat sementara waktu.

RTM adalah penyumbang besar kepada ekonomi pekerja di bawah Profima yang sehingga kini semua penerbit masih ternanti-nanti keputusan tender kandungan yang telah melalui sesi saringan atau 'pitching proposal' sekitar Jun hingga Julai lalu. Namun sehingga kini masih tiada berita akan dianugerahkan tender-tender ini kepada penerbit.

Profima melihat peluang kerjaya melalui sumber utama ini (Program TV RTM) tidak berjalan seperti tahun-tahun sebelumnya, malah tahun 2023 belum ada satu penganugerahan tender rancangan TV dibuat oleh pihak stesen kerajaan ini.

Kelancaran pihak RTM memberikan projek perolehan melalui RTM kepada penerbit adalah sumber penting yang menyumbang sebahagian besar kepada peluang kerjaya kru filem khususnya pekerja belakang tabir.

Profima turut menyokong kenyataan yang dibuat oleh wakil Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Datuk Jurey Latiff, mengenai keresahan dalam perkara yang sama.

Penerbit yang akan terkesan lebih awal dan ianya membabitkan kesemua pekerja yang menunggu peluang kerja melalui penerbit.

Presiden Profima, Khalil Saleh berkata "Sekarang sudah Ogos, stesen TV Kerajaan yang menjadi tempat bergantung masih belum keluarkan tawaran perolehan rancangan TV yang baru, ianya sangat memberi kesan.

"Profima juga mendapat aduan dan rungutan dari ramai kru filem yang sudah lama tiada peluang kerja" katanya dalam satu kenyataan.

Profima memohon pihak kerjaan, khususnya Kementerian Komunikasi Digital melalui RTM memandang serius perkara ini, kerana kesannya adalah kepada hampir 1,500 pekerja filem yang tertumpu kepada peluang pekerjaan melalui pelbagai bidang kerjaya khususnya projek dari RTM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 4:37 PM