KHALIL (kanan) bersama kru Profima.
KHALIL (kanan) bersama kru Profima.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) sekali lagi tampil menganjurkan acara tahunan, Hari Kru Filem bagi meraikan sumbangan pekerja filem dalam sektor kerjaya pembikinan filem atau televisyen sejak dahulu sehingga kini. 

Presidennya, Khalil Saleh berkata, acara berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur dari jam 9 pagi hingga 5 petang esok.

"Ia hari pengiktirafan dan pemberitahuan kepada rakyat Malaysia, bahawa kru filem mempunyai sumbangan besar dalam kejayaan penerbitan filem dan kandungan kreatif negara.

"Merujuk kepada sambutan tahun lalu, sambutan ini akan dihadiri ahli dari semua peringkat kepakaran pekerja filem dan ia disertai wakil kru dari pelbagai tempat di seluruh Malaysia.

"Kami menjangkakan kehadiran sekitar 800 orang berdasarkan  jemputan dan reaksi kru filem yang menyatakan minat untuk hadir sebagai tanda sokongan," katanya kepada Harian Metro. 

Menurutnya, kru filem yang hadir akan mendapat beberapa manfaat berguna dan tujuan dari program yang diadakan.

"Hanya ini satu-satunya perjumpaan besar untuk berjumpa dan bersua dengan rakan industri. Pada masa sama akan diadakan program Wacana Filem & Temu CEO Finas. 

"Tidak ketinggalan pameran booth berkaitan kru filem seperti Perkeso, KWSP, Koperasi dan lain-lain.

"Juga sesi ahli bertemu dengan semua kepimpinan tertinggi organisasi Profima (Pemimpin Profima, Akademi dan Koperasi Profima)," katanya. 

Khalil berkata, Profima akan mengambil ruang yang ada dalam perjuangannya sempena Hari Kru Filem.  

"Ia antaranya Penyerahan Resolusi Banding 2024 (Resolusi sempena Sambutan Hari KRU Filem 2024) dan Pemerkasaan Kebajikan (melalui Perkeso, KWSP).

"Tidak ketinggalan Pemerkasaan Pendidikan (libat urus bersama Akademi Profima) dan Pemerkasaan Koperasi (libat urus bersama Koperasi Profima Berhad).

"Profima sangat berharap semua sektor pekerja filem seluruh Malaysia mengambil kesempatan untuk hadir bersama dan meraikan perayaan setahun sekali ini bagi menzahirkan sokongan atas penganjuran dan sekali gus mengangkat martabat sektor pekerja dalam industri filem Malaysia," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 12:38 PM