Kita baru saja meraikan sambutan 66 tahun kemerdekaan negara yang tercinta pada 31 Ogos lalu dan akan diikuti dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.
Pelbagai pengisian menarik diatur kerajaan di pelbagai peringkat bagi menimbulkan semangat cintakan negara, selain memupuk keharmonian masyarakat majmuk di negara kita yang berdepan pelbagai ujian mencabar kini.
Bercakap berkenaan ujian, penggiat seni tanah air turut berdepan cabaran getir dalam karier sekarang untuk mencari rezeki bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Pelbagai isu kedengaran antaranya tawaran berlakon yang jarang-jarang diterima pelakon veteran, bayaran yang terlalu rendah dan pelbagai isu hangat lagi.
Yang paling hangat diperkatakan ialah kelewatan keputusan perolehan rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang tidak berjalan seperti tahun-tahun sebelum ini.
Beberapa pihak seperti Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) akhirnya bersuara memohon Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memandang serius isu ini.
Presiden Profima, Khalil Saleh berkata, penerbit program televisyen hingga kini masih ternanti-nanti keputusan tender kandungan yang sudah melalui sesi saringan sekitar Jun hingga Julai lalu.
Banyak aduan diterima daripada ahli dan pekerja filem khususnya yang aktif dalam kerja-kerja membabitkan penerbitan program TV membabitkan peluang kerjaya di stesen RTM.
Profima juga melihat sehingga Ogos tahun ini, belum ada satu penganugerahan tender rancangan TV dibuat oleh pihak stesen kerajaan itu.
Dek kerana itu, ada dalam kalangan ahlinya terpaksa 'angkat kaki' meninggalkan pekerjaan ini untuk beralih kepada kerjaya lain yang menjanjikan pendapatan tetap yang lebih baik.
Isu sama turut diketengahkan Persatuan Penerbit Television Malaysia (PTVM) semalam yang meluahkan rasa kecewa mereka dan berharap kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membawa 'sinar' dalam keputusan perolehan RTM yang ditunggu sejak sekian lama.
Isu ini akhirnya memaksa campur tangan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman yang cuba menjernihkan keadaan.
Suhaimi berkata, RTM menerima sekitar 3,000 kertas cadangan untuk tujuan berkenaan sedangkan mereka hanya memerlukan 50 produksi. Jadi, mereka memerlukan lebih masa untuk meneliti kertas cadangan yang menepati kehendak RTM.
Selain penggiat drama, isu berkaitan royalti penyanyi dan pemuzik kita juga sudah lama berlarutan sejak dulu dan belum selesai sehingga sekarang biarpun pentadbiran negara bersilih ganti.
Bagaimanapun seperti ada cahaya di hujung terowong apabila seakan menemui petanda positif menerusi satu usaha yang digerakkan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Kedua-dua pihak bergabung menganjurkan Town Hall bertajuk Polemik Royalti: Sampai Bila? yang diadakan pada 29 Ogos lalu di Auditorium MaTIC Jalan Ampang Kuala Lumpur.
Sekitar 130 penyanyi serta pemuzik hadir meluahkan perasaan yang terpendam selama ini di hadapan panel iaitu Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez; Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Roziah Abudin dan Profesor Madya Rohazar Wati Zuallcobley dari Fakulti Undang-Undang UiTM.
Ia disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Mohd Yusof.
Satu jalan penyelesaian dicapai apabila Jawatankuasa Petugas Royalti dan Hak Cipta Industri Muzik ditubuhkan oleh kerajaan di mana Freddie dan Ahli Jawatankuasa Karyawan, Noorshila Amin dipilih menganggotainya.
Mereka akan memfokuskan tugas-tugas berkaitan sistem dan kaedah baru berhubung pengagihan royalti sepanjang tempoh menganggotai jawatankuasa berkenaan.
Dalam pada bergelut dengan pelbagai masalah, pujian wajar diberikan terhadap penggiat seni apabila tampil mewakili kontinjen Penggiat Industri Filem dan Animasi (Finas) menyertai perarakan sempena Hari Kebangsaan yang berlangsung di Dataran Putrajaya, 31 Ogos lalu.
Mereka tetap bersemangat menzahirkan perasaan terhadap negara tercinta.
Penulis wartawan hiburan Harian Metro