GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) menyambut baik segala inisiatif kerajaan melalui pembentangan Bajet 2023, semalam.

Presidennya, Khalil Salleh dalam satu kenyataan berkata, hampir keseluruhan inisiatif itu menepati ramalan dan harapan Profima.

"Antara perkara menggembirakan kami adalah caruman Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) di bawah Skim Pekerjaan Sendiri disambung setahun lagi dengan subsidi kerajaan sebanyak 80 peratus. Caruman itu sangat penting dalam kalangan kru produksi filem.

"Kami mahu semua pekerja filem lebih selesa bekerja dan persekitaran kondusif kerana bencana kerja dapat dilindungi jika berlaku kecelakaan atau kemalangan terutama di lokasi penggambaran," katanya.

Profima juga menyatakan kelegaan apabila skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah pakej i-saraan yang sangat sesuai untuk pekerja sambilan disambung.

"Majoriti kru produksi filem tidak mempunyai akaun KWSP. Profima baru mulakan kempen membuka akaun KWSP kepada ahli-ahlinya selepas berjaya menyelesaikan isu caruman Perkeso. Bajet 2023 realisasikan usaha berterusan Profima berkaitan potongan pendapatan KWSP," katanya.

Selain itu, pengecualian cukai jualan dan duti import peralatan penggambaran sangat diterima baik Profima. Tidak ketinggalan tabung komuniti filem bagi pembangunan penggiat filem adalah satu usaha murni.

"Ia pasti memberi impak positif khususnya kepada pengusaha studio, sewaan peralatan, penerbit dan kru filem kerana semua kru teknikal adalah ahli Profima.

"Kewujudan tabung itu bertujuan dan matlamatnya sangat jelas membantu penggiat seni pada masa hadapan. Pekerja filem akan terbela serta beri peluang buat penyumbang menyatakan terima kasih kepada penggiat seni seluruh negara.

"Secara keseluruhannya, usaha kerajaan ini terutama melalui mampu memberi impak dalam nilai tinggi kepada industri perfileman. Terima kasih Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).

"Apa yang dipohon dan dirancang untuk tahun hadapan berjaya mendapat perhatian serius pihak kerajaan," katanya.

Selain itu, Khalil berharap isu perumahan kru produksi filem yang masih belum selesai sejak lebih 30 tahun lalu dipandang dan diberi ruang bagi mengisi kuota dan bantuan kerajaan nanti.

"Hampir 85 peratus pekerja filem tidak memiliki kediaman sendiri. Profima bukan memohon perumahan mewah, cukup sekadar apa yang layak buat ahli kami saja.

"Di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Profima adalah rakan strategik kementerian, namun sehingga kini surat dan usaha dilakukan masih tidak mendapat perhatian mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 5:32 PM