Khalil (dua kanan) mengadakan kunjungan bertemu Sivakumar
Khalil (dua kanan) mengadakan kunjungan bertemu Sivakumar
Nurul Sabrina Jamali


Kuala Lumpur: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) menyasarkan 21,000 ahli termasuk 5,000 ahli yang aktif mempunyai sijil kemahiran diiktiraf oleh kerajaan.

Presiden Profima, Khalil Salleh berkata pihaknya melakukan inisiatif berterusan dalam memastikan penggiat filem mempunyai pengalaman kerja turut menjadi pakar industri profesional yang disokong dengan sijil kemahiran profesional.

Menurutnya, isu penggiat filem tiada sijil mencetuskan kebimbangan Profima disebabkan ia memberi gambaran sektor filem dilihat kekurangan individu yang pakar dan diiktiraf oleh kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

"Inisiatif ini dilaksanakan sejak setahun lalu dan kunjungan hormat Profima bertemu Menteri Kementerian Sumber Manusia, V Sivakumar diadakan pada 29 Mei lalu bagi mengangkat isu penggiat filem tanpa sijil kemahiran profesional.

"Profima mencadangkan kerjasama lebih erat dengan JPK dapat dilakukan untuk membantu penggiat filem khususnya ahli kami seterusnya mendapat pengiktirafan menerusi pensijilan profesional oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Khalil Salleh
Khalil Salleh

Menurutnya lagi, sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam usaha ini juga diperlukan kerana Finas adalah peneraju industri perfileman yang berupaya mengiktiraf penggiat filem tempatan.

Pensijilan profesional kerajaan ini membuka peluang pekerjaan luas khususnya apabila penggiat filem bekerja di luar negara terbabit dengan produksi antarabangsa yang melakukan penggambaran di Malaysia.

Tambahnya kenyataan itu, Profima percaya pensijilan oleh JPK melalui program Pencapaian Pengalaman Terdahulu (PPT) untuk sijil, diploma dan diploma lanjutan, penggiat filem akan diperakui kemahirannya menerusi pengalaman kerja.

Profima akan mengadakan mesyuarat bersama JPK dan Finas seterusnya menyusun gerak kerja dengan lebih teratur bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 4:36 PM