KEJUTAN ulang tahun perkahwinan yang ke-11 tahun buat Ahmad Nabil dan isterinya, Nazirah Ayup, malam tadi.
KEJUTAN ulang tahun perkahwinan yang ke-11 tahun buat Ahmad Nabil dan isterinya, Nazirah Ayup, malam tadi.
Zaara Talita


Kuala Lumpur : "Jadikan saya seorang suami yang istiqamah. Kaburkan mata saya kepada wanita lain. Jadikan wanita ni terindah buat saya. Saya sayang awak sehingga tiba masa Allah pisahkan kita".

Demikian ucapan ringkas pengacara Nabil Ahmad membuat kejutan di konsert minggu ketiga Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11 malam tadi.

Bersiaran secara langsung, wajah isterinya, Nazirah Ayup kelihatan terkejut apabila Nabil menjemput ke atas pentas diiringi nyanyian hos gandingan, Elly Mazlein.

Isteri Nabil kelihatan sangat terharu dan sebak dengan kejutan itu yang turut diserikan dengan sebiji kek tiga tingkat di atas pentas. 

 Nabil turut mendedikasikan ucapan romantis dengan mengucapkan terima kasih kepada isterinya yang sanggup bertahan serta bersabar menjadi seorang ibu kepada tiga orang anak perempuan mereka.

Nabil juga seorang pelawak itu juga berharap dia mampu menjadi seorang suami yang sentiasa setia bersama isterinya sehingga hujung nyawa.

"Malam istimewa, selepas 11 tahun melayari perkahwinan bersama seorang wanita bernama Nazirah Ayup, hari ini saya nak ajak dia ke pentas. Tak sempat nak buat majlis sambutan ulang tahun perkahwinan, hari ni ramai penyanyi, kek pun ditaja. 

"Bukankah hari ni anniversary terindah? Terima kasih sayang sebab sudi bertahan dan bersabar. Menjadi ibu kepada tiga orang anak bukan mudah. Saya nak minta semua yang menonton, doakan kebahagian kami," kata Nabil. 

Terdahulu Nabil mendirikan rumah tangga dengan Nazirah Ayup pada 30 September 2011 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata perempuan iaitu Naira Mikayla, Leyla Medyna serta Mishall Imani.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 1:58 PM