ISTERI Nabil selamat bersalin anak perempuan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
ISTERI Nabil selamat bersalin anak perempuan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Sudirman Mohd Tahir


ISTERI pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad iaitu Nazirah Ayub selamat bersalin anak perempuan di Hospital Thomson, Kota Damansara, semalam.

Nabil, 36, atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad berkata dia berada di sisi isterinya sepanjang pembedahan dijalankan.

"Isteri dimasukkan ke hospital pagi semalam dan dibawa masuk ke bilik pembedahan pada tengah hari. Dari awal sampai habis saya ada bersamanya. Ketika proses pembedahan, saya tengok saja wajah isteri.

"Walaupun belum dikurniakan anak lelaki, ini rezeki yang tidak terhingga daripada Allah. Apa yang penting, isteri dan bayi ketiga kami dalam keadaan selamat serta sihat," katanya kepada Harian Metro.

Nabil yang juga pengacara program MeleTop berkata, dia dan isteri masih berpeluang memiliki anak lelaki namun bukan dalam tempoh terdekat.

"Doktor beritahu kami boleh mencuba lagi tapi isteri kena kuat, banyakkan bersenam dan jarakkan usia anak. Dalam erti kata lain, perut isteri kena betul-betul sembuh dulu.

"Ramai juga kawan saya yang macam kami. Alhamdulillah, mereka dapat juga anak lelaki. Insya-Allah, kalau ada rezeki, adalah. Tapi, memang nak juga seorang anak lelaki.

"Sebelum ini saya pernah cakap kepada isteri, kalau dapat anak lelaki dah boleh rehat dan 'tutup kilang'. Nampaknya, Allah belum izinkan dan Dia mahu kami mencuba lagi," katanya.

Sebelum ini, Nabil dan Zira sudah dikurniakan dua anak perempuan iaitu Naira Mikayla, 7, dan Leyla Medyna yang kini berusia empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 12:44 PM