Nabil kehilangan 1.2 juta pengikut. FOTO NSTP
Nabil kehilangan 1.2 juta pengikut. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pengacara dan pelawak popular Nabil Ahmad berputih mata apabila beberapa kontrak membabitkan kerjayanya dibatalkan selepas akaun Instagram miliknya digodam pada 20 September lalu.

Nabil, 33, berkata, perkara itu sudah termaktub dalam perjanjian di mana beberapa syarikat menitikberatkan jumlah pengikut di laman Instagram.

"Selepas mendapat tahu Instagram saya digodam, pelanggan tidak merungut atau membuat sebarang aduan sebaliknya mereka terus membatalkan perjanjian. Bukan apa, perkara itu memang dinyatakan dalam kontrak.

"Bukan itu saja, beberapa urusan perniagaan membabitkan ulasan di Instagram juga tidak diteruskan. Ini kerana jumlah pengikut di akaun baru saya tidak cukup kuat," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Nabil yang juga pengacara program MeleTop berkata, dia turut terlepas beberapa projek penting disebabkan perkara itu.

"Kebanyakan syarikat sekarang yang ingin menggunakan khidmat artis sebagai duta atau jurucakap mengutamakan jumlah pengikut di Instagram, malah perkara itu yang ditanya terlebih dahulu.

"Sekarang saya terlepas beberapa projek apabila mereka mendapat tahu jumlah pengikut Instagram saya masih sedikit," katanya.

Akibat digodam, Nabil kehilangan 1.2 juta pengikut di Instagram apabila akaun yang dikongsi bersama isterinya, Nazirah Ayub atau Zira digodam.

Sebagai inisiatif, Nabil membuka akaun baru menggunakan nama @ziranabil yang kini baru memiliki jumlah pengikut seramai 1,123.

"Saya masih berusaha mendapatkan semula akaun lama. Saya tak kisah jika individu itu membuang semua gambar, asalkan saya memperoleh semula akaun itu.

"Saya sudah berhubung dengan pihak Instagram dan mereka memberikan tempoh selama tiga minggu. Namun saya reda sekiranya akaun itu gagal diperoleh semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 8:30 PM