Nabil bersama keluarganya. FOTO IG Nabil Ahmad
Nabil bersama keluarganya. FOTO IG Nabil Ahmad
Najiy Jefri


PENGACARA dan pelawak popular, Nabil Ahmad mengesahkan isterinya, Nazirah Ayub atau Zira kini hamil anak ketiga.

Menurut Nabil, usia kandungan Zira kini baru berusia lima minggu.

"Alhamdulillah keluarga saya bakal bertambah. Semalam doktor sahkan isteri saya hamil lima minggu.

"Saya sangat teruja kerana kami memang merancang menambah cahaya mata selepas anak kedua sudah menginjak usia tiga tahun," katanya.

Nabil berkata, dia berharap dikurniakan anak lelaki selepas memiliki dua anak perempuan bernama Naira Mikayla, 6, dan Leyla Medyna, 3 tahun.

"Sebenarnya saya tidak kisah soal jantina asalkan bayi yang bakal lahir sihat dan sempurna. Cuma saya berharap kalau dapat anak lelaki mesti seronok. Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu berharap.

“Saya menyerahkan perkara ini kepada ketentuan Allah. Sebagai ketua keluarga, saya anggap anak adalah tanggungjawab dan amanah yang perlu dijaga.

"Doakan semoga kandungan isteri saya berada dalam keadaan baik," katanya.

Nabil dan Zira berkahwin pada 30 September 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 2:56 PM