NABIL tak peduli kecaman terhadapnya bermulut lepas ketika mengacara.
NABIL tak peduli kecaman terhadapnya bermulut lepas ketika mengacara.
Oleh Norhayati Nordin


Meskipun bermulut lepas ketika mengacara, namun apa yang dilakukan Ahmad Nabil Ahmad hanyalah sekadar untuk menceriakan suasana.

Justeru, sekalipun pernah dikecam hebat di laman sosial sepanjang mengendalikan program Gegar Vaganza musim kedua, Nabil, 32, tidak ambil peduli.

Ujarnya, apa yang dilakukan hanyalah atas tuntutan kerja. Bahkan, apa niat yang tersirat biarlah hanya Tuhan yang tahu.

Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2008 ini sudah matang dengan ranjau kehidupan seorang selebriti.

Nabil yang ditemui baru-baru ini berkata, dia selesa mengambil pendekatan tidak mahu terlalu memikirkan pandangan orang terhadapnya.

“Dalam hidup ini, tidak semua orang suka apa yang kita lakukan. Jadi, apa saja kritikan negatif pernah diterima, saya akan menerima seadanya.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan dan menyimpan dalam hati kerana bimbang ia akan mengganggu fokus untuk terus kreatif berkarya.

“Bagi saya, mana yang baik diambil dan kalau kritikan itu ada berbau untuk menjatuhkan saya biarkan saja. Lagipun setiap orang ada pendapat dan pandangan mereka masing-masing terhadap apa yang saya lakukan,” katanya.

Selama lapan tahun membina nama dalam industri seni Nabil berkata, sudah banyak pengalaman dilalui dan perkara itu menjadikan dia semakin matang.

Jelas Nabil, bukan mudah untuk menjadi pelawak, apatah lagi menghiburkan penonton dan memuaskan hati semua orang. Baginya apa yang penting cuba menjadi kreatif dan mempersembahkan yang terbaik dalam setiap persembahan.

Beralih topik bicara mengenai keluarga dan anak, Nabil hadir bersama isteri Nazirah Ayub, 27, serta dua anak mereka, Naera Mikayla, 3, dan Leyla Medyna, 10 bulan, dalam satu majlis pelancaran rancangan kanak-kanak baru-baru ini, Nabil memaklumkan takkan menyekat minat anaknya jika mereka memilih bidang seni sepertinya.

“Apa saja minat anak, sama ada mengikut jejak langkah untuk menceburi industri seni, saya tidak akan menghalang.

“Bagi saya, itu sudah minat mereka dan ia diwarisi daripada saya. Begitupun, saya tetap mengutamakan pendidikan mereka berbanding bidang seni,” katanya.

Mengulas mengenai kemunculan anak sulungnya yang mesra dengan pangigilan Mika dalam muzik video lagu Pokok Mulberi dalam animasi Didi And Friends, Nabil berkata itu sekadar pendedahan awal.

Ujarnya, dia tidak memaksa Mika menjayakan muzik video itu. Apa pun, dia gembira anaknya memberi kerjasama baik sepanjang proses penggambaran dilakukan.

“Mungkin waktu itu dia melakukan bersama kawan. Jadi dapat menyesuaikan diri dengan baik. Walaupun dia menunjukkan kecenderungan saya tidak pernah memaksa, bergantung kepada Mika sendiri. Maklumlah, kerenah budak-budak tak suka dipaksa,” katanya.

Mengenai penerimaan isterinya, Nabil berkata Nazirah juga tidak menghalang minat anak dan cuba memberi sokongan.

Menurut anak jati Mambau, Negeri Sembilan ini lagi, apa yang pasti keutamaan dia dan isteri adalah memastikan anak mendapat pendidikan yang baik.

Selain aktif mengacara, Nabil kini sebagai juri tetap bersama pelakon Nora Danish untuk program pencarian bakat cilik tanah air, Ceria All Stars di Astro Ceria.

Bersiaran setiap Jumaat, jam 9 malam, kemuncak Ceria All Stars akan berlangsung 8 Januari ini. Siapakah finalis cilik berjaya merangkul juara dan membawa pulang wang RM20,000.

Nabil yang turut bertugas sebagai penyampai radio hujung minggu untuk Carta ERA 40 di ERA FM pada setiap Sabtu mulai jam 12 tengah hari hingga 4 petang, juga mengacarakan program MeleTOP, setiap Selasa jam 10 malam.

Bukan itu saja, Nabil turut dipilih menjadi pengacara Anugerah MeleTOP ERA 2016 (AME 2016 ) pada 28 Februari ini yang disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:03 AM