AYDA Jebat dan Nabil Mahir bakal bernikah 1 Januari tahun depan.
AYDA Jebat dan Nabil Mahir bakal bernikah 1 Januari tahun depan.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pasangan selebriti, Ayda Jebat dan Nabil Mahir mengumumkan bakal melangsungkan pernikahan pada 1 Januari tahun depan.

Nabil yang juga pengacara berkata, tarikh itu dipilih bagi memudahkan mereka mengingati ulangtahun perkahwinan.

"Ayda memang jenis susah nak ingat tarikh. Sebab itu tarikh nak kahwin pun dia pilih yang senang untuk ingat. Waktu itu saya sudah bagi beberapa tarikh, tapi Ayda cakap nanti dia lupa.

"Dia terus bagi cadangan tarikh. Apabila saya tengok tarikh itu, saya cakap awak memang tak ingat tarikh ulang tahun ya. Dia pun gelak," katanya.

Pengumuman itu dikongsi pasangan terbabit menerusi video Episod 1 Tarikh Nikah Ayda Jebat & Nabil Mahir di saluran YouTube Wuzz Show, hari ini.

Menerusi video sama, Ayda dan Nabil berkongsi bagaimana mereka mula berkenalan dan saling jatuh cinta.

Nabil mendedahkan Ayda yang mula menghantar mesej di Instagram secara mesej peribadi (DM).

"Pertama kali jumpa tidaklah terus berkawan. Hanya tangkap gambar. Kali kedua jumpa dia ajak saya menari atas pentas. Dua bulan selepas itu dia DM saya dan ajak berborak. Jadi, kalau nak tahu siapa mengurat siapa, Ayda yang mengurat saya.

"Dari situ kami mula berkawan dan dia berkongsi banyak perkara dengan saya. Dari situ kami terus bersama sebagai kekasih. Pendek kata Ayda yang memulakan langkah," katanya.

Menurut Ayda, ketika kali pertama mesej (DM) Nabil, dia memberitahu tidak suka mengganggu kekasih orang.

"Sebenarnya itu kali pertama saya DM lelaki dan cuba berborak. Sebab sebelum ini tak pernah buat begitu. Memang betullah saya mengurat dia.

"Selepas DM itu, beberapa hari selepas itu saya tanya Nabil dia ada kekasih atau tak, dia jawab tidak ada dan solo sebab saya tidak suka kacau kekasih orang. Kiranya DM itu adalah langkah untuk berkenalan," katanya.

Terdahulu, Ayda dan Nabil mengikat tali pertunangan secara dalam talian pada 28 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 9:49 AM