Tiga anggota Inteam iaitu Hazamin, Rahim dan Syahril tinggal dalam khemah di kem pelarian ketika cuaca sejuk.
Tiga anggota Inteam iaitu Hazamin, Rahim dan Syahril tinggal dalam khemah di kem pelarian ketika cuaca sejuk.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Kumpulan nasyid Inteam sudah berjaya mengutip sumbangan lebih RM700,000 setakat jam 8 malam ini melalui kempen Cabaran 12 jam Syria yang masih lagi berlangsung.

 Menerusi cabaran terbabit, tiga anggota Inteam iaitu Hazamin, Rahim dan Syahril yang melakukan Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Siri ke-10 di utara Syria merasai pengalaman peribadi tinggal di dalam sebuah khemah di kem pelarian ketika cuaca sejuk ini.

 "Kami menyambung tugasan delegasi Peduli Insan Malaysia untuk ke kem pelarian di utara Syria membabitkan 1.5 juta pelarian.

"Cabaran yang dibuat ini berlangsung dari jam 11 pagi tadi sehingga 11 malam ini (waktu Malaysia) atau jam 6 petang (waktu Syria).

 "Kami akan tinggal dalam khemah diperbuat dari kanvas dan kain nipis dalam musim sejuk yang mencengkam," kata Hazamin sebelum ini kepada Harian Metro. 

Dalam cabaran yang turut disiarkan secara langsung menerusi akaun rasmi Facebook Inteam itu, mereka yang juga 'ikon' Pertubuhan Peduli Insan Malaysia, mensasarkan untuk kutipan dana RM1 juta bagi membantu kira-kira 100,000 penduduk di kem pelarian berkenaan.

 Tidak ketinggalan, sesi 'live' ini turut menampilkan barisan selebriti terkenal antaranya Mawi, Diana Amir, Norman Hakim, Fedtri Yahya, Fitri Haris, Hafiz Hamidun dan Bob Lokman.

 Malah, Bob Lokman menitiskan air mata ketika kumpulan Inteam membaca doa untuk kesejahteraan pelarian Syria. 

 Terdahulu Hazamin berkata, sekiranya 100,000 individu menyumbang sebanyak RM10 seorang, ia boleh mencecah jumlah terbabit.

 "Kita akan sampaikan bantuan kepada 100,000 pelarian berupa bakul makanan, set hidangan panas, alat pemanas serta bahan bakar, set pakaian musim sejuk dan selimut yang dikenali sebagai Selimut Kasih," katanya. 

 Tidak ketinggalan, Inteam juga akan mengambil peluang yang ada itu untuk membuat penggambaran muzik video lagu Selimut Kasih ciptaan Syahril dan lirik ditulis Fedtri Yahya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 9:33 PM