DZIL Afnan berkolaborasi bersama Hazamin (kanan).  FOTO: Aizuddin Saad
DZIL Afnan berkolaborasi bersama Hazamin (kanan). FOTO: Aizuddin Saad
Syafil Syazwan Jefri

MEMULAKAN langkah dalam industri nasyid tanah air sejak 2005, nama kumpulan nasyid Dzil Afnan mungkin kurang menyerlah dan belum cukup dikenali.

Selepas beberapa tahun menyepi, Dzil Afnan yang dianggotai Mohd Amin Ismail, Mohd Taufiq Abdullah, Mohd Ridzuan Azuzan dan Wan Amiruddin Wan Ismail, kini membuat kemunculan semula menerusi lagu baharu berjudul Bahagia Sejati.

Tidak bersendirian, Dzil Afnan memilih untuk menampilkan seorang daripdaa anggota kumpulan nasyid Inteam iaitu Hazamin dalam lagu ciptaan Hazamin dan Wan Salleh ini.

Amin mewakili kumpulannya berkata, Dzil Afnan tidak berniat untuk menumpang populariti Hazamin yang sudah cukup dikenali dalam industri nasyid.

"Dengan kemunculan lagu ini, bukan bererti kami cuba menumpang populariti Hazamin semata-mata. Sebaliknya, salah satu faktor yang menjadikan kami berkolaborasi adalah kerana kekuatan jenama Inteam itu sendiri.

"Di YouTube saja, mereka memiliki ratusan ribu pelanggan (subscriber) dan dari situ, kami sudah dapat melihat kekuatan mereka," katanya.

Tambah Amin, projek kolaborasi kali ini juga menjadi batu loncatan buat mereka untuk menyerlahkan semula bakat nyanyian.

"Insya-Allah, dengan adanya bantuan platform daripada Inteam, kami akan terus mengorak langkah dan berdikari pada masa akan datang," katanya.

Ditanya juga mengenai sambutan diterima daripada peminat untuk kemunculan mereka, Amin berkata, reaksi ditunjukan sangat positif.

"Apabila keluarkan lagu Bahagia Sejati ini, kami hebahkan kepada keluarga dan kenalan. Alhamdulillah, jumlah tontonan di YouTube juga mengejutkan dan ia adalah satu pencapaian luar biasa buat kami.

"Rakan, keluarga termasuk guru kami rata-rata memberikan maklum balas positif dengan penghasilan karya sarat mesej ini," katanya.

Hazamin juga berkata, dia sudah mengenali anggota kumpulan berkenaan sejak beberapa tahun lalu dan potensi itu ada.

"Kami juga sudah bersahabat lama dan sering menyertai aktiviti anjuran Persatuan Dhuafa Sejahtera di Kedah yang mana membantu golongan asnaf.

"Dari situ, banyak kerjasama antara kami dan apabila mereka menawarkan untuk menghasilkan dalam lagu ini, saya terus terima," katanya.

Hazamin juga mengakui bahawa reaksi peminat adalah sangat menggalakkan.

Katanya, ia sesuatu yang sangat positif bagi kumpulan membuat kemunculan semula.

"Sebelum lagu Bahagia Sejati dilancarkan secara rasmi, saya ada kongsi sedikit sedutan daripada lagu ini. Ada yang fikir bahawa itu adalah lagu baharu Inteam.

"Bila lagu dah dilancarkan di YouTube sejak awal Ogos lalu, jumlah tontonan naik dengan agak pantas dan itu membuatkan saya gembira dengan hasil karya kali ini kerana tak mudah untuk artis nasyid mendapat perhatian," katanya.

Kumpulan Dzil Afnan dan Hazamin juga kini menganjurkan pertandingan Bahagia Sejati Cover Challenge dan menawarkan hadiah utama RM300 serta penginapan di pusat peranginan Cameron Highlands.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 6:45 AM