INTEAM kini berada di Syria melakukan misi kemanusiaan.
INTEAM kini berada di Syria melakukan misi kemanusiaan.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Kumpulan nasyid Inteam yang kini dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Siri ke-10 di utara Syria akan melancarkan kempen Cabaran 12 Jam Syria pada esok.

Menerusi cabaran itu, tiga anggotanya iaitu Hazamin, Rahim dan Syahril akan tinggal di dalam sebuah khemah di kem pelarian dan merasai sendiri suasana cuaca yang sejuk dan sukar di sana.

"Kami menyambung tugasan delegasi Peduli Insan Malaysia untuk ke kem pelarian di utara Syria membabitkan 1.5 juta pelarian.

"Cabaran yang dibuat akan berlangsung bermula dari jam 11 pagi sehingga 11 malam waktu Malaysia. 

"Kami akan tinggal dalam khemah diperbuat dari kanvas dan kain nipis dalam musim sejuk yang mencengkam," kata Hazamin. 

Menurutnya, mereka yang juga 'ikon' Pertubuhan Peduli Insan Malaysia, akan merasai kesejukan serta berinteraksi secara online dengan selebriti dan tokoh-tokoh dari Malaysia serta tempat-tempat lain.

"Kami nak peminat, selebriti serta semua rakyat Malaysia menyokong dengan menonton secara 'live' di akaun rasmi Facebook Inteam dan berkongsi di Facebook masing-masing.

"Ia kerana kami mensasarkan untuk kutip dana RM1 juta bagi membantu kira-kira 100,000 penduduk di kem pelarian Syria ini.

"Sasaran agak tinggi iaitu RM1 juta dan mungkin nampak agak susah. Tapi, kalau ramai yang menyokong dan berkongsi sebarkan 'live' ini, tak mustahil ia dapat dicapai," katanya lagi. 

Menurut Hazamin, sekiranya 100,000 individu menyumbang sebanyak RM10 seorang, ia boleh mencecah jumlah terbabit.

"Kita harap dapat sampaikan kepada 100,000 pelarian. Bantuan akan diberikan itu ialah bakul makanan, set hidangan panas, alat pemanas serta bahan bakar, set pakaian musim sejuk dan selimut yang dikenali sebagai Selimut Kasih.

"Saya pernah sampai seorang diri tahun lalu dan berasa amat sedih sehingga menitiskan airmata tengok sekolah mereka. Ia sebuah khemah berlantaikan lumpur dalam keadaan sejuk tanpa pemanas.

"Teringat keadaan kita di Malaysia walau diuji dengan pandemik Covid-19 masih mempunyai sekolah yang selesa. Boleh belajar secara 'online' di rumah masing-masing," katanya. 

Sementara itu, Syahril pula berkata,  bantuan yang dihulurkan akan sampai ke tangan pelarian tanpa ada sebarang penyelewangan.

"Insya-Allah jangan risau, perkara ini (bantuan) kita akan sampaikan. Kami hanya mewakili penderma untuk sampaikan sumbangan. 

"Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap prihatin dan kemurahan hati.  Kalau dengar saja isu semasa, mereka cepat menyalurkan bantuan. Itulah kelebihan kita. Jadi, ketepikan komen toksik dan teruskan kerja kita," katanya. 

Tidak ketinggalan, Inteam juga akan mengambil peluang yang ada itu untuk membuat penggambaran muzik video lagu Selimut Kasih ciptaan Syahril dan lirik ditulis, Fedtri Yahya semasa di sana.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 5:03 PM