INTEAM bersyukur dapat membantu pelarian di Utara Syria.  FOTO Aziah Azmee
INTEAM bersyukur dapat membantu pelarian di Utara Syria. FOTO Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman


BANYAK pengalaman menarik dan menyentuh hati dilalui oleh tiga anggota Inteam iaitu Hazamin, Rahim dan Syahril yang mengikuti misi kemanusiaan bersama Peduli Insan di Syria pada pertengahan Februari lalu.

Kumpulan yang popular dengan lagu Kasih Kekasih ini berkata, mereka memanfaatkan sepenuhnya kesempatan berada di utara Syria dengan membantu pelarian yang ditempatkan di dalam khemah di situ.

"Kami masuk menerusi Turki dan berada di Syria selama empat hari. Alhamdulillah, kami dapat adakan cabaran 12 jam dalam khemah pelarian dengan sasaran kutipan RM1 juta untuk membantu mereka (pelarian).

"Malah, Kempen 12 jam Syria yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi kami berjaya memperolehi RM840,000 untuk bantu kira-kira 84,000 pelarian Syria," kata mereka.

Hazamin berkata, sasaran RM1 juta dapat dicapai akhirnya apabila ramai lagi menyumbang selepas itu sekali gus dapat membantu 100,000 pelarian.

"Sekarang masuk kempen Ramadan pula dimana Peduli Insan bantu beri makanan panas untuk juadah berbuka dan sahur. Makanan panas dan segar memang mereka susah nak jumpa.

"Kami sempat tengok dapur yang dibina untuk pelarian sangat besar. Sasaran sehari penyediaan makanan ialah untuk 5,000 hingga 7,000 pelarian setiap hari sepanjang Ramadan nanti.

"Banyak juga pengalaman menginsafkan yang kami saksikan di sana. Antaranya, tengok kanak-kanak umur empat tahun suapkan adiknya makan daging yang sangat daif dan sejuk berupa daging lama dicicah dengan susu masam," katanya.

Tidak ketinggalan mereka menyaksikan ramai anak-anak kecil dalam keadaan kurang sihat dan perlukan rawatan.

"Kami juga tengok banyak khemah yang runtuh kerana dibadai salji lebat. Harga khemah pun tidaklah sampai RM1,000 dan bagi segelintir kita pasti tak mahal sangat, tapi mereka memang tak mampu.

"Alhamdulillah orang Malaysia sangat dermawan. Banyak sumbangan yang orang kita berikan kepada rakyat Syria.

KINI bekerjasama dengan Coconut Shake 336 dalam perniagaan. FOTO Aziah Azmee
KINI bekerjasama dengan Coconut Shake 336 dalam perniagaan. FOTO Aziah Azmee

"Mereka pun bila tengok rakyat Malaysia sampai, sangat gembira kerana tahu kedatangan kita bawa sesuatu untuk mereka," katanya.

Bagaimanapun, disebabkan jumlah pelarian yang ramai iaitu mencecah 1.5 juta orang, bantuan yang dihulurkan hanya cukup untuk 200,000 hingga 300,000 saja.

Semasa di Syria dan Turki, Inteam juga mengambil peluang merakam muzik video lagu baharu, Selimut Kasih serta doa-doa untuk kandungan di saluran YouTube mereka.

"Lagu ini ciptaan saya sendiri manakala lirik oleh Fedtri Yahya. Selepas sambutan Aidilfitri, kami akan siapkan muzik video penuh.

"Jadual kami pun makin padat sekarang. Dulu, kami berduet dengan Khai Bahar menerusi lagu Setanggi Syurga dan kali ini kami pilih Sufian Suhaimi pula.

"Ia perlu kerana kami ada strategi mencari golongan peminat baharu selain mengekalkan peminat lama," kata Syah pula.

Selain nyanyian, Inteam juga aktif dalam perniagaan yang kini masih bertahan.

"Sekitar tahun 2016 dan 2017 bila jualan cakera padat (CD) semakin merosot, kami buat persediaan perniagaan lain bermula dengan iKoko, iKismis dan iKurma.

"Apabila berlaku pandemik Covid-19, kami ada perniagaan makanan yang berjalan walaupun tidaklah begitu aktif.

"Alhamdulillah, sampai sekarang kami masih bergiat dalam projek makanan dan kini dapat bekerjasama dengan Coconut Shake 336 pula," kata mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 7:00 AM