DANIAL Syahmi Ahmad Shahri. FOTO ATC
DANIAL Syahmi Ahmad Shahri. FOTO ATC
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bakal beraksi di Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia tahun depan, pelumba muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahri mengharapkan keputusan yang positif pada penyertaan pertamanya itu.

Pelumba berusia 19 tahun itu berharap pengalamannya muncul naib juara dalam saingan Asia Talent Cup (ATC) musim ini dapat membantunya mencapai sasaran yang ditetapkan.

Menyedari saingan sengit yang akan dihadapi dan bukan satu yang mudah berlumba di pentas CEV, Danial menyasarkan untuk mencari penamat di kelompok 15 teratas pada setiap perlumbaan dalam usahanya meraih mata.

Dia yang pernah beraksi di saingan CEV Moto3 di Litar Catalunya, Jerez dan Albacete bagi menggantikan slot salah seorang pelumba Petronas Sprinta SIC Junior Team sebelum ini berkata, sasaran utama nanti adalah berada di kelompok 10 terbaik keseluruhan.

"Cabaran tidak mudah. Tapi saya tidak akan putus asa.

"Untuk saingan musim depan apa yang penting adalah meraih mata dalam setiap perlumbaan dan menamatkan saingan keseluruhan di kedudukan kelompok 10 terbaik," katanya.

Danial yang pernah terbabit dalam kemalangan negeri ketika pusingan ATC di Litar Antarabangsa Sepang pada 2018 menamatkan kempen ATC 2021 di tempat kedua di belakang pelumba sensasi dari Jepun Taiyo Furusato.

Danial meraih 119 mata ketinggalan 56 mata di belakang Taiyo. Pelumba berbakat itu berjaya mempamerkan rentak konsisten apabila memperoleh lima penamat di tempat kedua, masing-masing di Litar Antarabangsa Losail pada April dan Litar Mandalika, Indonesia, November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 5:24 PM