Oleh Rudy Imran Shamsudin


Untuk menyambung pelajaran dalam bidang Pengajian Industri Muzik di Universiti Liverpool, Britain, Diddy atau Syamsul Hirdy Muhid mestilah terus aktif sebagai penyanyi.

Itulah syarat diberikan Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah kepada bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4) itu sebelum ini.

Diddy sedar, bukan mudah untuknya melaksanakan syarat diberi memandangkan keadaan dia sibuk dengan kuliah. Bagaimanapun, kerana minat apatah lagi dikelilingi orang berbakat, syarat itu menjadi mudah untuk dilaksanakannya.

Malah banyak peluang menarik diperoleh Diddy dalam merealisasikan permintaan fakulti apabila memintanya mengajar selepas tamat pengajian.

Diddy juga berpeluang merakamkan lagu baru bagi memastikan kelangsungan kerjayanya sebagai penyanyi. Lebih mengharukannya apabila berpeluang merakamkan lagu di studio rakaman ternama, Parr Street Studios yang pernah memenangi pelbagai anugerah prestij.

Studio itu juga pernah digunakan beberapa artis antarabangsa terkenal seperti Rihanna, Coldplay dan Justin Bieber.

Diddy berasa bertuah kerana memperoleh pengalaman bekerja di dalam studio terkenal itu, di samping rakan berbakat besar.

Kata Diddy, lagu terbarunya itu dihasilkan rakan sekelas, Rei Muto yang juga orang penting di The Never Never Club di Liverpool dan John Doe Tokyo beroperasi di Tokyo.

“Rei juga mempunyai pengalaman besar dan pernah bermain muzik mengelilinggi dunia. Sewaktu saya mula-mula sampai untuk mengikuti pengajian di Universiti Liverpool, dia antara orang terawal menegur dan kami terus jadi kawan,” katanya.

Memandangkan mereka rakan sekelas, masing-masing banyak bercerita mengenai latar muzik dan Rei pernah meluahkan hasrat mahu melebarkan bakatnya di Asia selepas Jepun dan United Kingdom.

“Saya memberi idea kepadanya untuk berkolaborasi menghasilkan lagu terbaru saya. Ternyata dia bersetuju dan untuk lagu ini lirik Melayu saya tulis sendiri sementara dalam bahasa Inggeris saya meminta bantuan pensyarah saya Mike Jones.

“Hasil kolaborasi itu, lahirlah lagu Pergilah sementara dalam bahasa Inggeris, Wish Away,” katanya.

Kata Diddy, cerita dalam lirik Pergilah berbeza dengan Wish Away dan liriknya bukanlah karya yang diterjemah.

Bercerita lanjut mengenai pembikinan Pergilah, Diddy berasa sangat bertuah kerana hampir semua pemuzik terbabit terdiri daripada mereka yang berpengalaman.

“Bayangkan saya punyalah seronok bekerja kerana daripada pencipta lagu hinggalah kepada pemuzik semuanya profesional. Banyak juga ilmu yang mereka kongsikan dengan saya,” katanya.

Apabila proses akhir Pergilah siap, ia akan dipasarkan di Malaysia sementara Wish Away dilancarkan di Britain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:02 AM