M Nasir (kiri) dan Hattan. Foto Yun Mikail
M Nasir (kiri) dan Hattan. Foto Yun Mikail
Yun Mikail


Kota Kinabalu : Datuk M Nasir tidak bersetuju mengenai situasi hanya penyanyi memiliki album penuh saja layak mengadakan konsert solo.

Penghibur berusia 66 tahun ini berkata, ideologi seumpama itu adalah tidak benar berikutan penganjuran sesebuah konsert adalah penampilan mutu persembahan.

"Apabila kita memperkatakan mengenai konsert, ia adalah persembahan dan daya persembahan seseorang penyanyi itu harus kuatlah.

"Sekiranya penyanyi itu memiliki personaliti atau pesona menarik dan semua orang menyukainya, itu sudah cukup untuk artis berkenaan mengadakan konsert," katanya.

Menurutnya, kejayaan sesebuah konsert itu terletak pada cara penyanyi meninggalkan impak kepada penonton.

"Saya tidak rasa menjadi satu kesalahan jika seseorang penyanyi mahu mengadakan konsert tetapi tidak memiliki lagu-lagu popular," katanya ketika ditemui media pada sidang media Konsert Sifu dan Aku di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Terdahulu, maestro muzik, Datuk Ramli MS pernah memberi teguran buat penyanyi, Aina Abdul mengenai keperluan pembikinan album penuh untuk kelestariannya dalam industri muzik terutama sebelum mengadakan konsert berskala besar.

Dalam pada itu, konsert anjuran Ochee Purnama Sdn Bhd dan HS Shazlicious Trading dengan kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group pada 3 Februari tahun depan di SICC itu turut menyaksikan Datuk Hattan bakal beraksi di pentas konsert sama.

Konsert berkenaan adalah gabungan pertama yang menampilkan guru dan murid yang sudah berjaya dalam bidang muzik.

Ditanya sama ada masih perlu ada keperluan pada masa kini untuk menghasilkan lagu-lagu mempunyai lirik puitis, M Nasir berpendapat setiap karya atau lagu yang dihasilkan haruslah melihat keperluan semasa.

Beliau berkata, generasi muda yang ada ketika ini dilihat lebih menggemari sesuatu yang mudah difahami berbeza dengan proses pembelajaran sewaktu zaman dahulu.

"Budak-budak sekarang mungkin minat mempelajari sastera juga semakin berkurang. Mereka tidak faham betapa pentingnya perlu menguasai keindahan bahasa.

"Hakikatnya, kita kena tanya diri kita sendiri sama ada masih perlu atau tidak untuk menghasilkan lirik-lirik puitis seperti lagu-lagu terdahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 3:34 PM