AHMAD NAWAB tampil di pentas bersama Fathil Hidayat.
AHMAD NAWAB tampil di pentas bersama Fathil Hidayat.
Ridzuan Abdul Rahman


BARISAN penyanyi berpengalaman seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim, Shidee dan Ramlah Ram sudah cukup menterjemahkan kehebatan Konsert Tribute Seniman Negara Datuk Seri Ahmad Nawab di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula Jumaat lalu hingga kelmarin.

Lagu-lagu popular ciptaan Ahmad Nawab yang malar segar ternyata mengundang nostalgia buat semua penonton.

Tambahan pula, bukan selalu mereka berpeluang menyaksikan persembahan anak-anak didik Ahmad Nawab di pentas besar dan berprestij seperti ini.

Bukan saja penonton, malah konsert anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Istana Budaya bersama Bin Jamal Event Sdn Bhd ini seakan mengubati kerinduan empat artis besar ini terhadap sifu mereka.

Shidee yang tampil sebagai artis pembuka tirai tidak dapat menahan sebak apabila bercerita pengalaman pahit manisnya bersama Ahmad Nawab.

Ucapan terima kasih tidak putus-putus ditujukan kepada Ahmad Nawab kerana meletakkan namanya dalam bidang seni dan kekal bertahan sehingga kini.

Shidee menyanyikan lagu popularnya Janganlah Menghancurkan, Kau Bungaku nyanyian asal Datuk Shake dan Pilihlah Aku (Latif Ibrahim).

Ramlah tampil selepas itu menyanyikan lagu Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi yang mengundang tepukan bergemuruh kerana masih mampu menyanyikan lagu bernada tinggi.

"Saya beruntung mendapat lagu ciptaan Abang Mad. Lagu ciptaannya sangat indah. Kali ini saya berpeluang menyanyikan lagu yang sering dinyanyikan sewaktu zaman sekolah," katanya yang menyanyikan lagu Tiada Maaf Bagimu nyanyian asal Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

Khaty tampil sebagai artis ketiga menyanyikan lagu Ku Gembira Di Sampingmu dan Sabar Menanti yang membawanya bertapak dalam bidang seni selama 45 tahun.

Wany Hasrita satu-satunya penyanyi baru dan muda yang ditampilkan dalam konsert ini. Dia menyanyikan lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini iaitu Oh Di Mana Mustika Hati dan Kau Tinggi Di Awan Biru.

RAMLAH dan Shidee.
RAMLAH dan Shidee.

Vokal Wany yang agak halus dilihat seakan tidak kena dengan lagu ini. Malah gayanya menari agak kekok berbanding empat artis senior terbabit yang selesa menguasai pentas.

Sudah tentunya kelibat Jamal paling dinanti-nantikan penonton. Dia mendapat tepukan gemuruh apabila tampil menyanyikan lagu Sendiri dan Perpisahan Tanpa Rela.

"Saya berbangga dapat terbitkan konsert tribute kepada Seniman Negara. Saya begitu rapat dengan Datuk Ahmad Nawab yang saya panggil Abang Mad dan hubungan kami sebagai abang dan ayah.

"Saya gembira dapat berjumpa Ahmad Nawab selepas lama terputus hubungan. Tapi bukanlah bermakna saya lupakan dia," katanya.

Ahmad Nawab, 90, yang muncul di pentas untuk segmen temu bual bersama pengacara, Fatil Hidayat Ghazali menganggap muzik adalah sebahagian daripada dirinya.

"Sewaktu di belakang pentas tadi, saya rasa nak menangis bila dengar balik lagu-lagu ciptaan saya yang dinyanyikan dengan baik oleh penyanyi didikan saya itu.

"Saya pun tak boleh fikir, macam mana saya boleh buat banyak lagu (lebih 2,000) dan setiap lagu itu ada karakter tersendiri. Mengalir air mata saya. Inilah satu penghargaan yang besar bagi saya sebagai anak seni dan saya bersyukur," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, konsert ini diadakan bertujuan untuk membayar 'hutang' kepada Ahmad Nawab.

"Seniman Negara adalah anugerah yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada insan-insan seni yang terpilih yang diselia atau dianjurkan oleh JKKN.

"Seniman Negara kita ini adalah seniman yang keenam, yang terima anugerah tersebut pada November 2006. Kita ada tujuh Seniman Negara dan satu-satunya Seniman Negara yang masih hidup. Jadi kita bersepakat supaya dapat melaksanakan konsert ini selagi beliau masih hidup. Kebanyakan sebelum ini kita akan tribute konsert ini kepada mereka yang telah tiada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 6:45 AM