EZAD akui Amsyar ada suara yang unik dan mampu membawa lagu bernada tinggi dengan baik.
EZAD akui Amsyar ada suara yang unik dan mampu membawa lagu bernada tinggi dengan baik.
Affan Rostam


LAGU malar segar, Mengintai Dari Tirai Kamar diberi nafas baharu oleh penyanyi asalnya, Ezad Lazim

hasil kerjasama bersama penyanyi yang kian meningkat naik, Amsyar Leee.

Lagu yang pernah dipopularkan kumpulan Exists sekitar tahun 1997 itu kini diterbitkan semula oleh Warner Music Malaysia.

Kerjasama di antara dua penyanyi itu juga boleh dikatakan unik apabila ia menggabungkan kelunakan suara daripada dua generasi berbeza.

Ezad, 43, atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim berkata, sekarang ini adalah waktu yang tepat untuk menyanyikan semula lagu itu dengan sentuhan dan juga versi baharu.

"Kalau hendak diikutkan, lagu ini sudah pun menjangkau usia 25 tahun. Namun, sejak diperkenalkan pada 1997, ia masih menjadi permintaan kebanyakan penggemar muzik sehingga hari ini.

"Mungkin kini masa yang sesuai untuk pengenalan semula lagu ini khususnya buat generasi sekarang dan peminat terdahulu yang masih merindui karya ini," katanya.

Menurut Ezad, dia juga banyak menerima tawaran kerjasama daripada penyanyi dan juga syarikat rakaman lain, namun dia memilih Amsyar dan Warner Music untuk bersamanya dalam usaha mendendangkan semula lagu itu.

"Sebenarnya pihak Warner Music menyatakan hasrat mereka kepada pengurus yang juga isteri saya untuk menyanyikan semula lagu ini.

"Banyak tawaran saya terima sebelum ini. Bukan setakat Amsyar seorang, bahkan syarikat rakaman dan artis lain turut menyatakan hasrat mereka untuk bekerjasama.

"Namun rezeki berpihak pada Amsyar kerana saya nampak kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak Warner, dan akhirnya saya bersetuju," katanya.

Menurut Ezad, Amsyar mempunyai kelainan serta tona suara yang unik dan mampu membawa lagu-lagu bernada tinggi dengan baik.

"Bagi saya, Amsyar mempunyai tarikan yang tersendiri dalam membawa lagu ini dan dia mampu menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi. Dia bukan hanya mahir meniru nyanyian artis lain, malah tona suaranya ada keunikan tersendiri.

"Saya berharap agar kerjasama ini mendapat sambutan yang hangat, mungkin ramai yang kurang mengenalinya tetapi dengan adanya Amsyar, boleh meraih peminat baru disamping memeriahkan industri seni kita," katanya.

LAGU Mengintai Dari Tirai Kamar didendangkan semula oleh Ezad
LAGU Mengintai Dari Tirai Kamar didendangkan semula oleh Ezad

Sementara itu, Amsyar, 23, atau nama sebenarnya Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri teruja dan tidak mahu melepaskan peluang untuk berduet bersama Ezad yang juga pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza musim ke-2 itu.

"Apabila diberitahu oleh pihak Warner yang saya akan berduet dengan penyanyi asalnya iaitu abang Ezad, hati ini berdebar kerana seorang penyanyi bertaraf legenda seperti dia sudi berduet dengan BBNU (Budak Baru Nak Up) seperti saya.

"Namun, pada masa yang sama saya teruja berpeluang bekerjasama kerana saya anggap ia sebagai sebuah peluang yang tidak patut dipersiakan.

Menurutnya, lagu itu mempunyai keistimewaan dan tarikan tersendiri lebih-lebih lagi apabila ia muncul dengan versi baharu.

"Mungkin ramai pendengar muzik dari generasi sekarang kurang mengenali lagu ini, tetapi saya percaya lagu ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri apabila dinyanyikan semula dengan nafas baharu dan lebih

segar.

"Semoga lagu ini diterima ramai dengan nafas baharu yang diberikan oleh saya sebagai BBNU yang bergabung dengan abang Ezad dapat memberi kelainan serta memikat hati para pendengar semua," katanya.

Selain itu, penggubah muzik muda dari kumpulan Nastia, Rudy Iskandar diberi tanggungjawab untuk memberi sentuhan peribadinya terhadap lagu ciptaan komposer legenda, Saari Amri itu.

"Tidak banyak yang diubah, masih mengekalkan 'feel' yang lama dengan sentuhan baharu melalui vokal latar yang ditambah bagi mencantikkan lagi karya ini dan Amsyar berjaya membawa lagu ini dengan caranya tersendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 6:16 AM