EZAD terasa pemergian orang tersayang terutama ketika Aidilfitri ini.
EZAD terasa pemergian orang tersayang terutama ketika Aidilfitri ini.
Syafil Syazwan Jefri


PEMERGIAN orang tersayang terutama ibu bapa tentunya amat dirasakan terutama ketika sambutan Aidilfitri.

Bagi penyanyi dan pelakon, Ezad Lazim, kehadiran Aidilfitri tahun ini berbeza tanpa ibu bapanya yang meninggal dunia dalam tempoh pandemik ini.

"Balik kampung di Kedah untuk Aidilfitri kali ini pun, perasaannya berbeza kerana ayah dan ibu saya sudah tiada.

"Ayah saya meninggal dunia pada 2019 dan pada 2020 pula, ibu pula kembali ke Rahmatullah. Setahun kemudian, adik saya pula meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru. Yang tinggal kini hanya saya dan dua kakak," katanya.

Menurutnya, antara perkara yang paling dirindukan setiap kali Aidilfitri adalah masakan Allahyarham ibunya.

"Saya rindukan masakan ibu terutama ketupat. Kali terakhir sebelum meninggal dunia, dia sempat membuat ketupat walaupun ketika itu bukan hari raya.

"Memang dia sengaja buat ketupat dan rendang untuk dijamah kami sekeluarga yang pulang ke kampung ketika itu.

"Selain itu, ibu juga selalu siapkan kuih-muih antaranya biskut suji dan makmur. Memang itu adalah kenangan yang akan sentiasa saya rindukan," katanya.

Terbaharu, Ezad juga kini kembali aktif sebagai pelakon dan antara drama lakonannya adalah 7 Hari Mencintaiku 3.

KINI kembali aktif sebagai pelakon.
KINI kembali aktif sebagai pelakon.

"Alhamdulillah, tawaran lakonan ini pun datang secara berturut-turut di saat tak ada tawaran persembahan ketika kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dulu ada juga saya berlakon, tapi jarang-jarang sebab muzik adalah keutamaan. Tapi, lakonan ini juga sebenarnya ada kepuasan tersendiri.

"Jadi, apabila dapat peluang untuk berlakon dalam satu drama yang pernah menjadi fenomena dan masuk musim ketiga, saya rasa ini adalah satu peluang berharga," katanya.

Selain 7 Hari Mencintaiku 3, Ezad juga tampil dalam telefilem berjudul Misi Anak Bulan yang ditayangkan pada hari raya kedua lalu.

Selain drama, Ezad juga bakal muncul membuat persembahan di acara Showcase Amal Keluaga Malaysia: Artis Legenda 3.0 yang bakal berlangsung pada 4 Jun depan.

"Insya-Allah di acara itu nanti, saya akan persembahkan dua lagu antaranya Mengintai Dari Tirai Kamar.

"Jadi, sama-sama kita saksikan kemeriahan acara itu di samping mengumpul dana untuk membantu pesakit kanser,"katanya.

Selain Ezad, acara yang akan berlangsung di Bangi Resort Hotel itu juga mengumpulkan penyanyi lain antaranya Daqmie, Nizam Laksamana, Zarul Umbrella, Baggio, Tam Spider, Ibnor Riza, Rahmad Mega dan Ramlah Ram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 6:30 AM