Mokhzani (kanan) bersama Johari Salleh.
Mokhzani (kanan) bersama Johari Salleh.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail sedih apabila perancangannya untuk menghasilkan album jazz Allahyarham Adibah Noor bersama Big Band RTM tidak kesampaian.

Mokhzani berkata, Adibah ada menghubunginya pada Disember lalu mengajak menghasilkan album jazz di mana beliau bertindak sebagai penerbit.

"Saya setuju untuk terbitkan album dengan lima lagu kerana sudah agak lama genre jazz big band tak dikeluarkan. Adibah juga bersetuju untuk tulis lirik lagu baharu ciptaan saya untuk album ini dan bersedia untuk masuk studio Julai ini.

"Disebabkan Adibah mahu memberi fokus untuk program realiti Gegar Vaganza 8 (GV8) awal tahun ini, perancangan tertunda dan saya pula bersara," katanya kepada Harian Metro.

Perancangan itu bagaimanapun kembali 'bernafas' selepas Mokhzani diberi peluang menyambung perkhidmatan sebagai Pengarah Muzik.

"Saya menghubungi Adibah menerusi WhatsApp untuk beritahu berita baik ini tapi dia mendiamkan diri. Agaknya mungkin pada masa itu dia sudah tak terdaya kerana mahu berehat dan merahsiakan penyakitnya," katanya.

Mokhzani berkata, dia mendapat berita Adibah meninggal dunia Sabtu lalu ketika berada di kampungnya di Perlis.

"Saya terkejut dengar perkhabaran Adibah sudah tiada. Saya sedih atas kehilangan seorang permata negara. Saya sudah menggubah tiga lagu berjudul Sang Rembulan, Hujan dan I Love You For a Sentimental Reason untuk Adibah," katanya.

Sementara itu menerusi Facebook, Mokhzani turut menulis pengalaman awalnya mengenali Adibah. "Saya adalah pemain piano terawal dalam karier Adibah. Dari saya 'share' RM1,000 ringgit bahagi dua dengan seorang dapat RM500 ringgit dengan Dibah. Tahun 90-an sampailah saya bayar Adibah RM10,000. Saya digelar 'pianist' campak oleh Dib sebab dia kata aku campak ja apa lagu hang jalan. Dib sangat menghormati 'musician' (pemuzik).

"Dia akan menyediakan yang terbaik untuk 'musicians' dari bayaran ke makan, ke bilik hotel. Kalau 'function' (majlis) YTL dia akan jemput saya sebagai 'pianist' dengan piano grand rumah Tan Sri. Habis 'private show' YTL Dibah bagi 'cash' (tunai).

"Saya kata banyak sangat Dibah. Hang dapat berapa kalau RM3,500 hang nak bagi aku. Dia jawab ambillah 'time' banyak," tulisnya.

Menurutnya, apabila dia diundang Astro untuk menjadi juri Gegar Vaganza, agak susah baginya untuk memberi komen terhadap Adibah.

"Alamak macamana saya nak komen Dibah ni? Berhati-hati saya susun ayat. Adibah memang 'Terlalu Istimewa' dalam kerjaya saya sebagai pemain piano dan Pengarah Muzik. Hilang satu mata pencarian saya juga. Dibah dah takkan jemput saya lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 12:43 PM