DAHLAN menyanyikan lagu Lagu Untukmu.
DAHLAN menyanyikan lagu Lagu Untukmu.
RAHIMAH menyampaikan lagu Hati Yang Rapuh.
RAHIMAH menyampaikan lagu Hati Yang Rapuh.
AHMAD Nawab turut tampil dengan persembahan khas dalam konsert ini.
AHMAD Nawab turut tampil dengan persembahan khas dalam konsert ini.
OOI menerima sumbangan daripada tabung bantuan yang diwujudkan oleh Mokhzani (tengah) dan Freddie.
OOI menerima sumbangan daripada tabung bantuan yang diwujudkan oleh Mokhzani (tengah) dan Freddie.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Impian Pengarah Muzik RTM Datuk Mokhzani Ismail mengumpul dana bagi membantu komposer dan penulis lirik terkenal, Datuk Ooi Eow Jin yang menghidap penyakit Alzheimer akhirnya kesampaian.

Menerusi usaha yang digerakkan dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia sejak 5 November lalu, sejumlah RM50,000 berjaya dikumpul dan diserahkan kepada Ooi, 77, yang kini tinggal bersama isteri, Datin Khaw Lean Kee serta anak keduanya yang menderita penyakit tumor otak.

Ooi kehilangan anak sulungnya beberapa tahun lalu akibat penyakit leukemia.

RTM turut menganjurkan Konsert Lagu Untukmu... Datuk Ooi Eow Jin yang menampilkan pemuzik Orkestra RTM sebagai penghargaan buat beliau.

Rakaman konsert terbitan Shida Ali ini berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada 15 Disember lalu dan disiarkan di RTM penghujung bulan ini.

Barisan artis yang menjayakan konsert ini antaranya Datuk Ahmad Nawab, Datuk Dahlan Zainuddin, Salamiah Hassan, Rahimah Rahim, Adibah Noor, Bob AF dan Tomok.

Menerusi konsert itu, 14 lagu popular ciptaan Ooi termasuk Gerimis Di Lautan, Lagu Untukmu, Masa Berlalu, Kisah Gadis Sepi, Hati Yang Rapuh dan Dia Ibuku dipersembahkan.

Mokhzani berkata, bukan mudah merealisasikan konsert terbabit kerana pelbagai cabaran perlu dilalui mereka.

“Ketika beliau sihat lima tahun lalu, Datuk Ooi menyerahkan 25 lagu terbaiknya kepada saya. Memang kami ada perancangan untuk buat konsert kepada mereka yang berjaya, tetapi namanya di senarai belakang.

“Memandangkan dia sakit dan menjadi viral, perancangan itu dipercepatkan. Pada masa sama, kami juga fikir cara mencari dana untuk tabung bantuan yang diwujudkan.

“Kami tak boleh jual tiket kepada peminat. Bukan mudah mahu laksanakan konsert tribute untuk orang di belakang tabir. Datuk Ooi banyak lagu berentak perlahan dan untuk konsert ini saya pilih lagu berentak jazz agar dapat menghidupkan suasana,” katanya.

Sementara itu, Shida berkata antara dugaan menerbitkan program ini adalah latihan penuh yang hanya dapat dibuat sehari sebelum rakaman kerana Auditorium Perdana digunakan untuk rakaman konsert lain.

Bagi Dahlan, Ooi pemuzik hebat kerana berjaya menggilap bakat ramai artis terkenal termasuk dirinya.

“Bukan mudah bekerja dengan seorang yang genius sepertinya. Ketika saya menghasilkan album pertama, beliau jaga saya dengan baik di studio.

“Datuk Ooi juga istimewa kerana boleh mencipta lagu irama Melayu dengan baik,” katanya.

Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez pula menzahirkan perasaan gembira apabila usaha mereka mendapat sokongan pelbagai pihak.

“Sasaran kutipan pada awalnya hanya RM30,000. Tak sangka pula ramai individu dan syarikat korporat sudi membantu. Saya bangga dengan sikap ma­syarakat yang menghargai seniman kita.

“Tabung ini akan terus dibuka dan peminat boleh menghulurkan sumbangan terus kepada Datuk Ooi selepas ini,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:02 AM