Antara pelakon yang menjayakan filem Jaga-Jaga Senariounion
Antara pelakon yang menjayakan filem Jaga-Jaga Senariounion
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pengarah filem Aziz M Osman, 60, tidak menghiraukan komen-komen negatif segelintir pihak yang mungkin mengkritik filem Jaga-Jaga Senariounion arahannya.

Aziz berkata daripada apa yang diketahuinya, filem terbaharu kumpulan pelawak Senario itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton sejak ditayang pada 21 April lalu.

"Daripada maklum balas sambutan filem ini di Astro First yang saya tahu, sangat menggalakkan dan alhamdulillah. Cuma, berapa jumlah kutipannya saya belum tahu lagi.

"Jadi, kalau nak tanya berkenaan komen netizen di blog-blog mengenai filem ini, saya sebenarnya okey saja dengan pandangan mereka selagi perkongsian dibuat itu di dalam 'page blog' masing-masing.

"Itu hak mereka untuk menyuarakan pendapat dan saya tak boleh marah pun kerana ia tulis di 'page blok' sendiri. Cuma, pengunjung di blog itu yang kena bijak untuk membuat penilaian mereka," katanya.

Menurut Aziz lagi, kini sudah begitu ramai orang yang menjadi 'attention seeker' di internet.

Katanya, atas sebab itu ada antaranya sanggup menulis komen 'melawan arus' bagi menarik perhatian ramai.

"Apapun, cerita-cerita Senario yang saya ketengahkan ini dekat dengan masyarakat. Jadi, sudah tentu ada suntikan kelainan berbanding filem Senario yang pernah saya hasilkan 20 tahun lalu.

"Seiring dengan anggota Senario yang makin berusia, maka jalan cerita filem dihasilkan juga kena matang dan lawaknya pula sesuai dengan waktu sekarang.

"Sebagai contoh, watak Azlee itu tak bolehlah saya buat 'juling juling mata' lagi sebab dah tak sesuai. Penonton pun faham sebab kebanyakan peminat Senario pun tentunya dah matang," katanya.

Ditanya juga apakah Senario akan tampil dengan sitkom di TV, Aziz berkata kumpulan pelawak yang namanya sudah 'gergasi' itu sepertinya tidak sesuai lagi diletak dalam medium persembahan kecil.

"Nama kumpulan Senario ini sekarang hanya sesuai untuk penghasilan filem saja dan bagi sitkom, rasa saya kurang sesuai lagi. Jadi, pada masa akan datang jika ada rezeki, Senario akan terus saya hasilkan untuk filem," katanya.

Terdahulu, filem Jaga-Jaga Senariounion membariskan pelakon daripada anggota asal Senario seperti Wahid, Azlee, Saiful Apek, Yassin, Hamdan dan Ilya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 4:28 PM