LAN Pet Pet
LAN Pet Pet
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak Lan Pet Pet atau Mazlan Ahmad, 54, berhasrat mengeluarkan produk Nasi Beriani Paipon Uncle Lan bermula Ramadan ini.

Menurutnya, penggunaan nama 'paipon' dalam bahasa pasar yang bermaksud khayal dirasakan tidak mempunyai apa-apa kesalahan yang besar.

"Apa yang salahnya? Depa (pemilik) produk guna macam-macam nama seperti nasi ganja kenapa tak pi (pergi) tangkap? Betul ke dalam nasi diletak ganja?

"Saya guna Nasi Beriani Paipon, tapi tak khayal pun. Ia hanya pada nama sahaja. Tiada yang langgar undang-undang pun. Jangan pula ada yang salah anggap," katanya kepada Harian Metro.

Lan, anggota kumpulan Senario yang kini dikenali sebagai SenarioUnion turut menyangkal khabar angin mengatakan dia bergaduh dengan anggota kumpulan terbabit.

Desas-desus ini timbul berikut ketiadaannya dalam filem Jaga-Jaga Senariounion arahan Aziz M Osman yang diterbitkan pada 2022.

Filem yang ditayangkan menerusi saluran Astro First ini menampilkan kesemua anggota Senario kecuali Lan Pet Pet.

"Macam-macam cerita yang saya dengar konon saya bergaduh dengan anggota lain. Kami tak pernah bergaduh dan saya masih sayangkan Senario.

"Cuma saya sekarang sibuk dengan berniaga dan sering ikut festival jualan di merata lokasi. Tapi jiwa saya tetap dengan anggota lain.

"Sekarang saya dah bersedia untuk berlakon dengan Senario. Saya dapat lampu hijau dari Dr Ahmad Idham yang nak arahkan filem Senario The Legend selepas ini. Istimewanya, Aziz M Osman akan terbabit sama berlakon dan bukan mengarah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 12:59 PM