AZIZ bersama barisan pelakon Jaga-Jaga Senariounion.
AZIZ bersama barisan pelakon Jaga-Jaga Senariounion.
Ridzuan Abdul Rahman


PEMBIKINAN filem terbaharu Senario berjudul Jaga-Jaga Senariounion arahan Aziz M Osman penuh dengan nostalgia buat semua yang terbabit termasuk peminat.

Selain kembali bekerjasama dengan semua anggota asal Senario yang kini dikenali sebagai Senariounion iaitu Wahid, Azlee, Saiful Apek, Yassin, Hamdan dan Ilya, Aziz turut menampilkan semula Syanie Hisham, Prono dan Bobby Kiran serta muka baharu Raja Lawak, Farisha dan Badrul Shah.

Tidak terkecuali, dia juga kembali menggunakan barisan tenaga kerja yang pernah melahirkan beberapa siri filem Senario yang meletup kira-kira 26 tahun lalu.

Aziz berkata, filem terbitan Botak Production Management Sdn Bhd ini memulakan penggambaran sejak pertengahan Disember lalu di sekitar Selangor.

"Perancangan untuk filem ini dah lama. Permintaan pun dah ada kerana kebelakangan ini kita tahu populariti Senario kembali meningkat. Mungkin kerana ada yang masih rindu dengan format atau cara lawak mereka yang mungkin pelawak komedi sekarang berlainan caranya.

"Sama juga suatu ketika dulu kita pernah meminati filem P Ramlee kerana kita rasakan ketandusan komedi seperti ditunjukkan beliau," katanya.

Menurutnya, situasi ini menimbulkan minatnya untuk kembali mengarah filem Senario.

"Ia bukan semata-mata kerana nak ambil kesempatan tapi memang kami punyai idea untuk sebuah filem iaitu karya yang terbaru untuk dipaparkan.

"Tak susah untuk kumpulkan anggota Senario kerana mereka diuruskan oleh Nizam yang sudah lama bersama mereka. Saya cuma menumpang idea untuk memfilemkannya.

"Cerita untuk Senario banyak. Yang bersesuaian untuk subjek Senario ini amat mudah untuk saya ketengahkan. Cerita ini berkaitan cerita-cerita kemasyarakatan. Cuma saya kena pilih subjek yang bersesuaian untuk ketika ini," katanya.

Aziz berkata, Jaga-Jaga Senariounion yang ada sekarang dipilih selepas menapis tiga cerita.

"Cerita pertama lain, kedua lain dan apabila di hujung pembikinan kita dapat yang ini. Bukan bermaksud yang lain kurang baik. Mungkin belum dapat faktor 'wow'.

"Selepas kami sama-sama bekerja saya kira kami sudah buat keputusan terbaik untuk paparkan kisah berlainan untuk filem ini. Pembahagian watak serta perkara lain bukan masalah kerana saya dah lama bekerja dengan mereka. Evolusi Senario ini nampaknya menyenangkan saya kerana mereka semakin matang," katanya.

Bercakap mengenai kepuasan berkarya, Aziz berkata, selagi belum puas selagi itu dia tidak meneruskan.

"Untuk cerita Senario pun, saya sebenarnya menghadapi masalah dengan penerbit itu sendiri apabila di saat-saat akhir masih lagi tak beri skrip kerana tak puas dengan jalan ceritanya.

"Sebelum Jaga-Jaga Senariounion versi ini, mereka dah dapat skrip awal peringkat cerita yang lain. Cerita itu apabila saya buat hampir tiga suku, saya rasa macam ceritanya bagus tapi tiada faktor 'wow'.

"Dengan izin Allah di hujung-hujungnya dalam masa yang singkat, saya dapat idea untuk versi yang ada sekarang," katanya.

Aziz mengharapkan filem yang menjalani penggambaran selama 12 hari ini akan ditayangkan menerusi Astro First secepat mungkin supaya momentum permintaan peminat yang tinggi tidak pudar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 6:30 AM