Oleh Nor Akmar Samudin

Aktres Priyanka Chopra memberi sepenuh sokongan terhadap kemunculan adik-adik sepupunya, Parineeti Chopra, Meera Chopra dan terbaru Mannara Chopra yang turut berminat untuk mencipta nama di Bollywood.

Baru-baru ini Priyanka menghadiri majlis yang meraikan kejayaan filem sulung lakonan Mannara berjudul Zid. Bagaimanapun ketika ditanya kenapa dia tidak datang ke majlis mempromosikan filem lakonan Parineeti, jelas Priyanka, Parineeti sudah mencipta nama besar di Bollywood dan tidak memerlukan bantuannya lagi.

"Saya memberikan sokongan yang sama rata kepada Parineeti, Mannara dan Meera. Cuma, Parineeti sudah popular. Tidak seperti Mannara dan Meera yang baru nak mencari nama di Bollywood.

"Apabila Mannara juga sudah terkenal, dia juga tidak akan memerlukan sokongan saya lagi. Saya mahu mereka bertiga berjaya dan selagi diperlukan saya akan terus menyokong mereka," kata Priyanka.

Menurutnya, semua ahli keluarganya berbakat dalam bidang lakonan.

"Namun, saya tidak pernah membandingkan mereka kerana masing-masing ada kelebihan sendiri. Saya bangga dengan bakat yang ada pada mereka dan kami akan bersaing secara sihat.

"Mannara pelakon yang bagus dan spontan. Saya yakin dia akan berjaya di Bollywood," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:00 AM