IKMAL bersama bayi perempuannya, Cailie.
IKMAL bersama bayi perempuannya, Cailie.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Ikmal Amry, 28, memilih nama Cailie bermaksud kesayangan untuk bayi perempuan sulungnya yang dilahirkan secara normal pada 30 Disember lalu.

Ikmal atau nama sebenar Mohd Zulikmal Amry Ghazali ketika ditemui berkata, dia dan isterinya, Najla Shamsul sepakat memilih nama Cailie itu kerana pendek dan mudah disebut serta diingati.

"Nama saya pun dah panjang, jadi takkan nak letak nama anak pun panjang juga. Jadi, saya dan isteri pilih nama Cailie kerana menarik dan maksudnya juga baik iaitu kesayangan.

"Lagipun, nama isteri saya juga pendek, Najla saja. Memang mudah untuk disebut dan diingat selalu," katanya yang ditemui pada majlis sidang media dan pratonton drama 'siri original' Astro Gempak berjudul Ex Aku Pontianak, baru-baru ini.

Berbicara mengenai pengalamannya menjadi bapa, Ikmal berkata, dia tidak kekok ketika menguruskan anak, tetapi kadang-kadang berasa seperti seperti tak percaya sudah mempunyai zuriat sendiri.

"Saya ada ramai anak saudara dan pernah juga menolong ibu menguruskan mereka ketika bayi dulu. Jadi, pengalaman itu banyak membantu saya apabila sudah ada anak sendiri sekarang.

"Alhamdulillah, saya rasa sangat gembira dan pada masa sama kehadiran anak banyak mengajar saya lebih bersabar. Kalau dulu, saya tak boleh lambat sarapan, tapi sekarang anak akan didahulukan," katanya.

Ikmal berkata, dia juga bersyukur kerana banyak mendapat perkongsian menguruskan anak dan keluarga daripada pelakon, penyanyi dan pengacara popular, Alif Satar.

"Saya sangat berterima kasih dengan Alif kerana dia banyak berkongsi ilmu menguruskan keluarga dan anak. Alif selalu ingatkan saya agar bahagiakan isteri dan anak kerana mereka adalah pembawa rezeki kita.

"Saya bertemu dengan Alif kali pertama ketika kami berlakon untuk satu drama pada 2019. Pada saya, dia orang yang sangat baik dan kini dianggap umpama keluarga," katanya.

Menerusi drama Ex Aku Pontianak arahan Syamil Othman, Ikmal sebagai Malik berganding bersama pelakon lain seperti Elizabeth Tan, Raysha Rizrose, Fatimah Abu Bakar, Datuk Malek Noor dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 7:06 PM