IKMAL Amry anggap terjun ke dunia lakonan langkah tepat bina kerjaya.
IKMAL Amry anggap terjun ke dunia lakonan langkah tepat bina kerjaya.
Najiy Jefri


PENCUBAAN pelakon Ikmal Amry mengintai peluang dalam bidang lakonan nyata tidak sia-sia.

Walaupun tidak berjaya menempatkan diri dalam senarai Top 5 Hero Remaja 2017, jejaka tampan berusia 26 tahun ini dihujani tawaran demi tawaran berlakon.

Lebih mengujakan, kejayaannya melakonkan watak Ray dalam drama siri Gantung The Series berjaya mengumpul peminat tersendiri sehingga ramai yang menantikan setiap naskhah lakonannya.

"Jika dihitung perjalanan seni saya dalam industri seni sudah hampir lima tahun saya terbabit dalam bidang lakonan.

"Alhamdulillah laluan kerjaya seni saya sebagai pelakon dipermudahkan. Walaupun tidak tersenarai dalam Top 5 program Hero Remaja tapi rezeki dalam bidang seni sentiasa ada.

"Nama saya mula melonjak naik ketika saya melakonkan watak Ray dalam drama Gantung The Series. Saya dapat lihat impak yang luar biasa dalam karier seni saya yang baru bermula ketika itu," katanya.

Menurut Ikmal, biarpun namanya sudah semakin kukuh namun dia akui pada permulaan terbabit dalam dunia seni tidak banyak tawaran diterima daripada stesen televisyen arus perdana.

"Saya perlu memberi kredit kepada syarikat pengurusan saya iaitu Absolute Talents & Management kerana sentiasa berusaha mencari peluang untuk saya membintangi drama.

"Mereka sentiasa memperkenalkan bakat yang masih baru ini untuk naik secara perlahan-lahan. Saya anggap perjalanan yang ditempuh sejak 2018 adalah satu pengalaman yang cukup manis dan akan dikenang sampai bila-bila," katanya.

Bagi Ikmal, tahun 2020 mencatatkan satu sejarah baru dalam hidupnya apabila graf seninya sebagai pelakon naik dengan ketara apabila tawaran yang diterima tidak henti.

"Tahun ini adalah tahun yang paling bermakna kerana walaupun negara kita dilanda wabak Covid-19 dan perlu melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun saya dapat banyak tawaran berlakon.

"Dalam tempoh lima tahun membabitkan diri sebagai pelakon saya sentiasa memperbaiki kelemahan lakonan saya dari satu naskhah ke naskhah yang lain.

"Disebabkan itu juga, mungkin syarikat produksi nampak perubahan dan kesungguhan saya dalam menterjemahkan setiap watak yang dibawakan ke kaca televisyen," katanya.

Antara drama lakonan Ikmal ialah Mencintaimu Mr. Photographer (Astro), Sejuta Rasa Buat Adelia (Astro), Aku Cinta Dia (TV3), Puteri Yang Ditukar (Astro), Memoir Karmila (RTM) dan Bila Cupid Jatuh Cinta (TV3).

IKMAL akan mendirikan rumah tangga dengan personaliti media sosial.
IKMAL akan mendirikan rumah tangga dengan personaliti media sosial.

Sahabat baik Syafiq Kyle & Aedy Ashraf

Siapa sangka, memiliki sahabat baik yang turut menempa nama dalam bidang seni, Ikmal menggunakan peluang terbabit dengan menimba ilmu lakonan daripada Syafiq Kyle dan Aedy Ashraf.

Ikmal berkata, mungkin ramai yang tidak tahu dia seorang yang komited dan bersungguh-sungguh dalam membawakan setiap watak supaya tidak menerima kritikan negatif daripada penonton selain enggan dikatakan hanya menjual paras rupa semata-mata.

"Ramai yang tak tahu sebenarnya saya banyak menimba ilmu daripada kawan baik saya dalam industri seni.

"Setiap kali menerima tawaran berlakon saya pasti akan duduk dan berbincang dengan Aedy dan Syafiq untuk menjayakan setiap watak. Mereka selalu memberi nasihat dan motivasi supaya setiap watak yang dibawakan ada warnanya," katanya yang menerima tawaran berlakon dua filem tahun ini.

Bakal jadi suami

Ikmal yang juga tunangan kepada personaliti media sosial dikenali, Najla Samshul bakal melangsungkan perkahwinan pada 19 Disember ini.

Walaupun karier seninya sedang meningkat, Ikmal percaya rezeki akan lebih mencurah-curah selepas mendirikan mahligai perkahwinan.

"Saya percaya dengan ketentuan Ilahi. Sejujurnya, nama saya semakin dikenali ramai pun selepas bertunang.

"Saya bersyukur dihujani pelbagai tawaran berlakon selepas bertunang pada Mei lalu termasuklah mendapat tawaran untuk membintangi dua filem Oktober ini.

"Rezeki datang daripada Allah dan saya percaya dengan rezeki selepas berkahwin sebab kebanyakan pelakon yang terkenal sekarang ini pun sudah berkahwin," katanya.

Menurut Ikmal, majlis pernikahan mereka akan berlangsung di kampung halaman Najla di Negeri Sembilan sebelum resepsi sebelah lelaki, pada 27 Disember di Subang Jaya.

Menurut Ikmal, dia kini lebih fokus mempersiapkan diri dengan membuat persediaan rohani.

"Saya lebih mempersiapkan diri daripada segi rohani, bagaimana untuk menjadi suami yang baik sebab bukan satu perkara yang mudah untuk jaga anak orang.

"Soal duit saya tak risau sangat sebab Allah akan tolong orang yang buat benda baik. Cuma, saya banyak minta nasihat daripada kawan-kawan yang sudah berkahwin dan bertanya sendiri pengalaman dan cabaran selepas berumah tangga," katanya.

Ikmal dan Najla berkenalan sejak tiga tahun lalu dan mengikat tali pertunangan mereka pada 27 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 6:00 AM