RHCP kembali bersama ‘line-ups’ terbaiknya iaitu Flea (depan kiri), Kiedis (depan kanan), Smith (belakang kiri) dan Frusciante. - FOTO Google
RHCP kembali bersama ‘line-ups’ terbaiknya iaitu Flea (depan kiri), Kiedis (depan kanan), Smith (belakang kiri) dan Frusciante. - FOTO Google

Peminat Red Hot Chili Peppers (RHCP) pasti teruja apabila band funk rock dari Los Angeles ini kembali dengan album terbaharu berjudul Unlimited Love yang dipasarkan pada 1 April depan.

Selain album terbaharu yang juga album studio ke-12 mereka, RHCP juga berjanji akan tampil dengan lebih banyak lagu dan muzik baharu selepas ini.

Unlimited Love juga menyaksikan kembalinya pemain gitar, John Frusciante yang meninggalkan RHCP pada 2009.

Album Stadium Arcadium pada 2006 adalah album terakhir Frusciante bersama RHCP. Dia kemudian digantikan oleh Josh Klinghoffer yang merakamkan dua album bersama RHCP iaitu I'm With You pada 2011 dan The Getaway (2016).

Frusciante kembali bergabung bersama 'abang-abangnya' dalam RHCP iaitu Anthony Kiedis (penyanyi), Flea (bass) dan Chad Smith (dram) pada 2019.

Kiedis dalam satu temu bual berkata, mereka menjanjikan lebih banyak lagu dan album selepas Unlimited Love dipasarkan.

"Jangan terkejut jika akan ada banyak lagi lagu selepas ini. Kami ada banyak untuk menggembirakan peminat kami," katanya.

RAKAM hampir 50 lagu ketika sesi rakaman album terbaharu. - FOTO Google
RAKAM hampir 50 lagu ketika sesi rakaman album terbaharu. - FOTO Google

Frusciante berkata, itu adalah antara pelan muzik mereka susulan daripada album Unlimited Love.

"Kami merakamkan hampir 50 lagu ketika sesi rakaman Unlimited Love bersama penerbit, Rick Rubin. Kami memiliki banyak lagu yang kami suka," katanya.

Dalam temu bual sama, Kiedis, Flea dan Smith turut teruja apabila dapat bergabung kembali dengan Frusciante yang disifatkan mampu membawa lebih banyak kreativiti dalam RHCP.

Single terbaharu dari album Unlimited Love iaitu Black Summer kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Red Hot Chili Peppers.

Muzik video yang dimuat naik Jumaat lalu itu mencatat lebih 10 juta tontonan.

RHCP yang ditubuhkan pada 1983 adalah antara band paling laris sepanjang zaman apabila keseluruhan album mereka terjual lebih 100 juta unit di seluruh dunia.

Mereka juga band alternatif rock paling berjaya dengan memiliki 13 single di tangga pertama dan 25 lagu dalam senarai 'top 10' carta Billboard Alternative Songs.

Mereka juga memenangi enam trofi di Grammy Awards dan pada 2012, RHCP disenaraikan dalam Rock & Roll Hall of Fame.

PERSEMBAHAN bertenaga RHCP. - FOTO Google
PERSEMBAHAN bertenaga RHCP. - FOTO Google

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 6:51 AM