Red Hot Chilli Peppers
Red Hot Chilli Peppers
Agensi

PEMAIN gitar album pertama kumpulan rock terkenal Red Hot Chili Peppers (RHCP), Jack Sherman, meninggal dunia pada usia 64 tahun.

   Berita itu dimaklumkan oleh pengurusan kumpulan terbabit,  semalam menerusi Instagram.

   "Kami, keluarga besar RHCP berharap Jack Sherman 'berlayar dengan lancar' ke dunia yang lain, dia sudah tiada," demikian kenyataan RHCP yang dikongsi dalam akaun media sosial itu.

   "Dia bermain pada album pertama dan terbabit pada tour pertama kami di Amerika Syarikat.

   "Dia adalah insan yang unik dan kami berterima kasih atas semua detik manis, pahit dan kenangan diluangkan bersama," kata mereka.    

   Dalam sejarah RHCP, biarpun Sherman menjadi gitaris dalam album pertama, dia sebenarnya bukanlah pemain gitar yang pertama kumpulan ini. 

   Sherman dikatakan pemain gitar kedua daripada sekurang-kurangnya lapan gitaris yang pernah bersama Red Hot Chili Peppers' sejak awal penubuhan band itu.

   Sherman bergabung dengan Anthony Kiedis dalam RHCP pada 1984 menggantikan gitaris sebelumnya, Hillel Slovak.

   Selain dalam album pertama berjudul The Red Hot Chili Peppers, Sherman juga terbabit sebagai pencipta bersama beberapa lagu untuk album kedua berjudul Freaky Styley, pada 1985.

   Tahun berikutnya, Sherman mengundur diri daripada RHCP dan tempatnya digantikan semula oleh Hillel Slovak.

   The Red Hot Chili Peppers adalah album pertama kumpulan yang dibentuk Kiedis bersama Flea pada era 1980-an. 

   Album yang dikeluarkan pada 10 Ogos 1984 itu mengandungi 11 lagu dan Sherman terbabit mencipta lima lagu. 

  RHCP mempunyai rangkaian album 'smash hit' antaranya Californication dan Blood Sugar Sex Magik dengan lagu popular seperti Give It Away.

   Menurut CNN, Kiedis mendoakan kesejahteraan Sherman.

   Menurutnya, walau sesaat, Sherman terbukti memberi impak penting bagi meletakkan RHCP dalam persada muzik rock dunia.

   "Dan jika dia tidak ikut terbabit untuk tahun-tahun berikutnya,  kami (RHCP) mungkin juga tidak akan muncul," kata Kiedis.

   Kumpulan yang mendapat pengiktirafan Rock and Roll Hall of Fame pada 2012 kini dianggotai oleh Anthony Kiedis sebagai vokalis, John Frusciante (gitar),  Flea (bass) dan Chad Smith (drum).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 11:24 AM