HARAPAN Hasnol agar peminat terus menyokong kerjaya seninya.
HARAPAN Hasnol agar peminat terus menyokong kerjaya seninya.
Ridzuan Abdul Rahman


Agak lama masa yang diambil oleh penyanyi Hasnol Hassan Ariff atau lebih dikenali dengan panggilan Hasnol untuk kembali menghasilkan album terbaharu.

Penyanyi yang popular dengan lagu berjudul 'Lagu Ku Untuk Mu' ini pernah menghasilkan dua album iaitu 'Sudi Katakan Sudi' pada 1992 dan 'Caraku' pada 1994.

Selepas 27 tahun, baru kini Hasnol mengeluarkan album ketiga dan berjudul 'Nadi Cinta Kita'.

Album ini memuatkan tujuh lagu terbaharu iaitu 'Nadi Cinta Kita', 'The Rythm Of Love', 'Hilang', 'Lagu Ku Untuk Mu Remix 2020' serta tiga lagu dalam versi instrumental.

"Saya juga merakamkan semula 'Lagu Ku Untuk Mu' ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan lirik saya sendiri secara remix dan instrumental sebagai tanda 'tribute' dan penghargaan pada arwah.

"Istimewanya juga ialah lagu 'Hilang' dalam album ini dicipta oleh Allahyarham Tony Iskandar Alberto atau Tony Spider.

"Mulanya, album ini adalah satu dedikasi saya buat isteri sempena ulang tahun perkahwinan kami yang ke-10 pada tahun lalu," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya banyak perkara yang membuatkan dia begitu bersemangat untuk mendedikasikan karya lagu dalam album itu untuk dua arwah sahabat berkenaan.

"Ini kerana, mereka pernah bekerjasama dalam pembikinan album pertama saya serta yang terbaharu sekarang.

HASNOL kehilangan dua sahabat karib yang dianggap seperti ahli keluarga sendiri.
HASNOL kehilangan dua sahabat karib yang dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

"Justeru dengan pemergian sahabat karib yang sudah dianggap umpama ahli keluarga saya juga, album ini terus menjadi 'tribute' buat mereka.

"Dalam lagu 'Hilang', saya menulis bait-bait lagu berkisar mengenai seorang insan yang merindukan cinta pencipta dan secara tidak sengaja saya sebenarnya menulis berkenaan kisah arwah Tony," katanya.

Lagu 'Hilang' dikeluarkan pada Oktober 2019 dan peminat boleh menikmatinya di saluran YouTube Luncai Emas atau menaip judulnya 'Hilang oleh Hasnol' di YouTube.

Lirik muzik video ini juga dibuat dan disiapkan oleh Tony sendiri untuk disiarkan di Channel YouTube Luncai Emas.

Hasnol berkata, lagu 'Nadi Cinta Kita' juga dihasilkan dalam versi Inggeris dengan tajuk 'The Rhythm of Love'.

"Ini adalah lagu Bahasa Inggeris pertama nyanyian saya sepanjang sejarah sebagai artis selepas hampir 30 tahun berada di persada seni suara.

"Diharapkan peminat dapat menerima lagu ini. Dalam album 'Nadi Cinta Kita' ia bermula dengan rakaman lagu 'Hilang' yang digubah, adunan dan susunan oleh Allahyarham Tony pada hujung tahun 2018.

Bagaimanapun, lagu 'Hilang' dirakam semula di studio Luncai Emas pada awal tahun 2019 lalu. Apabila siap rakaman lagu ini, Allahyarham Tony bersama Luncai Emas berbincang dan setuju untuk memperbaharui pula 'Lagu Ku Untukmu' serta dikeluarkan sebagai remix.

"Saya dan Luncai Emas kemudiannya bersetuju untuk mengeluarkan kesemua lagu yang dirakam itu dalam satu album 'Edisi Terhad' di bawah label Luncai Emas," katanya.

Bagi rekod pencapaian, Hasnol pernah bergelar juara dalam Anugerah Juara Lagu ke-8 di TV3 pada 1993 dengan lagu 'Sudi Katakan Sudi' serta dicalonkan sebagai Artis Baharu Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) di tahun yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 6:31 AM