ARTIS perlu miliki jati diri kuat berdepan pelbagai kritikan.
ARTIS perlu miliki jati diri kuat berdepan pelbagai kritikan.
Ramlah Zainal


Industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita penyanyi muda yang popular dengan lagu Tergantung Sepi, Haqiem Rusli mendakwa dirinya mengalami kemurungan hingga merancang meninggalkan kerjaya nyanyian, baru-baru ini.

Selain Haqiem, 21, penyanyi As’ad Motawh turut mendakwa ingin mengambil langkah sama, sekali gus menerima pelbagai reaksi dari peminat hiburan ketika ini.

Antara faktor yang menyebabkan segelintir artis mengalami kemurungan dan tekanan ialah kerana mereka mendakwa tidak mampu berdepan pelbagai kecaman netizen di media sosial.

Persoalannya di sini, adakah artis wajar mengambil tindakan sedemikian hanya gara-gara kecaman netizen?

Rata-rata artis yang ditemu bual kolum Cuit Sikit Bling! minggu ini mengakui kecaman netizen di media sosial adalah asam garam dan lumrah dalam dunia hiburan tanah air.

Namun, ada segelintir artis berpendapat, apa saja tindakan dan keputusan yang mahu dilakukan ia terpulang kepada individu itu sendiri kerana mereka sepatutnya lebih tahu hala tuju dalam bidang seni tanah air.

Rozita Che Wan (Pelakon)

“Apa yang penting, setiap keputusan yang dilakukan tidak merugikan masa depan artis itu sendiri. Saya pernah dikecam apabila mengumumkan mahu bersara dari bidang seni, tapi atas pujukan dan rayuan daripada beberapa produser, saya kembali dalam bidang hiburan.

Bukan saja netizen yang mengecam, tapi juga wartawan. Namun, apabila sudah membuat keputusan, saya tetap teruskan kerana kecaman itu bersifat sementara.

Jangan peduli dengan kecaman netizen dan anggap ia dugaan Allah untuk menjadikan kita lebih kuat. Saya percaya, semua orang pernah mengalaminya sama ada kita kuat atau tidak yang akan menjadikan kita terus bertahan.

Sebenarnya, saya sudah lali dengan netizen kerana ada saja yang tidak kena di mata mereka. Jika ada teguran yang membina, saya akan terima, tapi kalau teguran kurang ajar atau pun kata-kata melampau batas, saya tidak peduli pun kerana ada alasan sendiri dalam setiap tindakan.

Saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan bidang seni kerana kecaman netizen. Rezeki dalam bidang seni adalah ketentuan Allah. Sama ada kita dikecam atau menerima pujian, saya tidak akan lari dari realiti kehidupan.”

Amelina (Penyanyi)

“Pada awal kemunculan semula dalam bidang nyanyian, saya pernah berasa tekanan dan kemurungan kerana berdepan netizen yang mengecam artis sesuka hati.

Namun, saya percaya semua artis melalui perkara sama kerana kehadiran dalam bidang seni memang untuk diadili netizen.

Artis adalah milik masyarakat dan setiap dilakukan dinilai peminat di laman sosial.

Jika artis mahu berhenti dari bidang seni kerana tidak mampu berdepan netizen, ia terpulang kepada individu itu sendiri.

Artis muda sewajarnya lebih tahu kehadiran mereka dalam bidang seni untuk mendapat pujian dan glamor semata-mata atau mempertaruhkan bakat?

Mereka perlu mengetahui bagaimana mahu membawa diri dalam industri seni dan perlu memiliki jati diri dan kekuatan untuk terus bertahan dalam bidang hiburan.

Saya membuat kemunculan semula pada usia 41 tahun dan selepas memiliki enam anak kerana ingin mencari rezeki dan menyalurkan bakat anugerah Allah dalam bidang seni. Sebagai penyanyi, saya mendapat kekuatan ini kerana peminat lama dan baru yang tegar dan sentiasa menyokong perjuangan dalam bidang nyanyian sejak dulu.”

Nabila Razali (Penyanyi)

“Apabila kita sudah membuat keputusan untuk berada dalam bidang seni, kita perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal kerana ujian dan cabaran datang setiap hari.

Saya juga pernah mengalami tekanan yang teruk, tetapi mengambil keputusan untuk kekal positif. Tekanan dan kemurungan adalah masalah serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Contohnya, kalau orang kritik tidak boleh menyanyi, saya akan mengikuti kelas vokal untuk mempelajari teknik nyanyian. Begitu juga kalau orang cakap tidak bijak berfesyen, saya akan mengambil penata gaya untuk tatarias dan berfesyen. Selain berkongsi dengan seseorang untuk mendapat khidmat nasihat, kita juga perlu mendekatkan diri dengan Allah.

Setakat ini, saya tidak pernah terdetik untuk meninggalkan bidang seni, tetapi sentiasa berusaha untuk mencari material yang bagus dan kekal relevan dalam bidang seni.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 3:34 AM