IKMAL dan tunang, Najla. foto IG IKMAL.
IKMAL dan tunang, Najla. foto IG IKMAL.
Najiy Jefri

 

PELAKON Ikmal Amry mengesahkan bakal bernikah dengan tunangnya yang juga personaliti media sosial dikenali, Najla Samshul pada 19 Disember depan. 

Ikmal berkata biarpun karier seninya sedang meningkat naik, namun dia percaya rezeki akan lebih mencurah-curah selepas mendirikan mahligai perkahwinan. 

"Saya percaya dengan ketentuan Ilahi. Sejujurnya, nama saya semakin dikenali ramai pun selepas  bertunang. 

"Saya bersyukur dihujani pelbagai tawaran berlakon selepas bertunang pada Mei lalu termasuklah, mendapat tawaran untuk membintangi dua filem Oktober ini.

"Rezeki datang daripada Allah dan saya percaya dengan rezeki selepas berkahwin sebab kebanyakan pelakon yang terkenal sekarang ini pun sudah berkahwin," katanya.

Terdahulu, Ikmal ditemui pada majlis sidang media dan menandatangani kontrak perjanjian bersama Absolut Talents & Management di Bangsar, baru-baru ini 

Tambah Ikmal, majlis pernikahan mereka akan berlangsung di kampung halaman Najla di Negeri Sembilan sebelum resepsi sebelah lelaki, pada 27 Disember di Subang.

Menurut Ikmal lagi, dia kini lebih fokus mempersiapkan diri dengan membuat persediaan rohani.

"Saya lebih mempersiapkan diri daripada segi rohani, bagaimana untuk menjadi suami yang baik sebab bukan satu perkara yang mudah untuk jaga anak orang.

"Soal duit saya tak risau sangat, sebab Allah akan tolong orang yang buat benda baik. Cuma, saya banyak minta nasihat daripada kawan-kawan yang sudah berkahwin dan bertanya sendiri pengalaman dan cabaran selepas berumah tangga," katanya. 

Sehubungan itu, Ikmal dan Najla berkenalan sejak tiga tahun lalu dan akhirnya mengikat tali pertunangan mereka pada 27 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 5:10 PM