Ikmal dan isteri bersama kereta yang dihadiahkan sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang kedua.
Ikmal dan isteri bersama kereta yang dihadiahkan sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang kedua.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Ikmal Amry menghadiahkan kereta Volkswagen Tiguan yang dianggarkan bernilai RM237,000 kepada isterinya, Najla Shamsul sempena ulang tahun perkahwinan yang kedua.

Ikmal berkata, selepas kereta peribadinya mengalami kerosakan teruk akibat kemalangan yang menimpa mereka sekeluarga pada September lalu, dia nekad untuk menggantikan kereta baharu yang diminati isterinya.

"Alhamdulillah saya dapat kereta ini sempena ulang tahun perkahwinan kami. Jadi saya hadiahkan kepada isteri dan anak saya.

"Proses untuk membeli kereta ini juga berjalan dengan lancar, termasuk proses pinjaman dengan bank. Saya anggap ini adalah rezeki yang sudah Tuhan tentukan. Kalau niat kita baik pasti ada jalan.

"Sebenarnya Najla memang minat kereta ini. Jadi saya berjanji untuk bekerja keras dan dapatkan kereta idamannya. Syukur dia sangat gembira sewaktu kami ambil kereta ini dan dia pun tak minta hadiah lain sempena ulang tahun perkahwinan kedua ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ikmal, kereta Volkswagen Polo yang terbabit kemalangan sedang dibaiki dan dianggarkan kos terbabit mencecah RM75,000.

"Saya masih sayangkan kereta itu dan sedang dibaiki. Saya reda apabila perlu berbelanja besar untuk kereta itu.

"Walaupun kos untuk baiki kereta ini menelan RM75,000, tapi saya positif dan anggap mesti ada kemanisan di hujung setiap ujian itu.

"Saya percaya Tuhan akan memberikan rezeki yang lebih baik untuk saya nanti," katanya.

Terdahulu Ikmal dilaporkan terbabit dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan pada 3 September lalu.

Ketika kejadian, kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan lain menyebabkan keretanya berpusing sebelum terbalik. Bagaimanapun, anak dan isterinya dilaporkan selamat.

Ikmal mendirikan rumah tangga dengan Najla Shamsul Kamar, 23, pada 19 Disember 2020 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Cailie.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 4:38 PM