Bekas pemain dram May, Man.
Bekas pemain dram May, Man.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Saya nak tunjuk kepada pengikut saluran YouTube saya iaitu Man Channel yang saya dah buat apa yang mereka minta. Selama ini mereka tanya mana Mael dan sekarang saya dah bagi jawapannya. Terlalu ramai nakkan Mael," kata bekas pemain drum kumpulan May iaitu Man yang kini aktif sebagai YouTuber berkenaan kontroversi membabitkan dirinya dan penyanyi kumpulan rock legenda XPDC, Mael.

Man, 56, atau nama sebenarnya Mohamad Saarip Yaakob dikatakan menghasilkan 'content' YouTube dengan mengambil video rumah Mael tanpa persetujuan dan memuatnaik di YouTube menyebabkan Mael kecewa.

Mengulas perkara ini, Man berkata, segalanya dilakukan dengan persetujuan Mael.

"Saya dah hubungi Mael menerusi mesej WhatsApp sebelum itu. Dia kata kurang sihat dan minta datang esoknya. Jadi keesokannya, saya terus ke Muar, Johor tanpa menelefonnya. Tiba di Muar, saya tak tahu rumahnya. Dia suruh saya tunggu tepi jalan kerana nak masuk ke rumahnya memang susah. 

"Saya fikir kalau tunggu tepi jalan, agak mengelirukan kerana terdapat banyak simpang. Saya tak jadi tunggu tepi jalan," katanya kepada Harian Metro.

Dia kebetulan mempunyai rakan di Muar yang tahu rumah Mael dan rakan ini membawanya ke rumah terbabit.

"Sebaik sampai di rumah itu, Mael memang ada dekat tingkap. Saya dah keluar dari kereta, dia jenguk dari celah tingkap. Saya nampak dia terus tutup tingkap dan pintu terus keluar ikut belakang atau pintu lain saya tak pasti. Yang pastinya dia nampak saya datang. Memandangkan saya dah sampai, saya pun buat 'content' YouTube saya.

"Dia pun tahu saya datang hari itu. Memang saya dah beritahu dia nak dia cerita berkenaan XPDC, mengenai perjalanan muzik dan sebagainya. Bila dia kata okey saya pergilah," katanya.

Man mengakui terkejut apabila perkaralain pula terjadi, malah dia didakwa 'terjah' rumah Mael tanpa kebenaran.

"Sebenarnya bukan terjah. Saya tak pernah buat 'content' sebegitu dan semua orang akan dimaklumkan oleh saya sebelum datang. Takkan saya 'gila' untuk buat begini kerana nanti ganggu orang. Ingat senang nak terjah Muar kerana saya dari Ipoh dan kosnya bukan murah. Kalau dia tak setuju saya pun takkan datang.

"Orang-orang yang komen, memang tak tahu hal sebenar dan anggap cara saya tak betul. Dalam 'content' saya pun bukan nak tunjuk keburukan," katanya. 

Man berharap pengikutnya nampak usahanya mencari Mael sampai ke Muar dan inilah jawapannya.

"Mereka kena terima dan faham apa yang berlaku. Tengoklah sendiri perjalanan saya untuk dapatkan Mael. Ada juga yang minta saya padam video ini. Kenapa saya nak kena padam? Ia bukan kandungan lucah atau sebagainya.

"Saya dengan penat lelah dan keluarkan modal hasilkannya, tapi mereka senang-senang suruh padam. Saya bukan buat benda salah atau maki hamun," katanya.

Setakat ini video terbabit sudah mendapat lebih 50,000 tontonan. 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 5:23 PM