MAEL XPDC (kiri) dan Man Max.
MAEL XPDC (kiri) dan Man Max.
Ridzuan Abdul Rahman

Minggu 'Gelora Rocker'. Begitu kesimpulan yang dapat dikatakan apabila memasuki awal Januari 2022.

Gelora' pertama membabitkan band rock legenda Search yang masih tiada kesudahan sehingga sekarang.

Ia bertambah parah apabila pemain gitar adik-beradik, Noordin dan Kid mengumumkan line ups terbaharu dengan memilih penyanyi Denden Gonjales dari Indonesia serta Yan (bass) dan Pae (dram) untuk bersama mereka.

Manakala Amy pula memilih bersama Nasir (bass), Man Kidal (gitar) dan Hillary Ang (gitar) yang turut menggunakan nama Search.

Namun rasanya biar kita tinggalkan 'Gelora Search' dan tumpukan perhatian kepada 'Gelora Rocker' kedua iaitu kontroversi membabitkan dua sahabat lama dalam muzik rock iaitu Man bekas pemain drum kumpulan May dan Mael, vokalis band rock XPDC.

Tiada angin dan tiada ribut, tiba-tiba tercetus perbalahan membabitkan dua nama popular yang amat dihormati oleh penggemar muzik rock sejak era 1990-an.

Puncanya bermula apabila Man yang kini dikenali sebagai Man Max membuat rakaman content untuk YouTubenya dan memilih untuk menampilkan Mael.

Semua perjanjian sudah dipersetujui dan Man yang berpegang dengan janji yang dibuat dengan Mael akhirnya bertolak dari Ipoh ke Muar, Johor untuk mendapatkan Mael.

Bagaimanapun, Man dikatakan bertindak sebaliknya apabila tidak memegang pada janji bersama Mael apabila dengan bantuan seorang rakan, mencari sendiri rumah Mael.

Bahkan dia juga merakam dari awal perjalanannya untuk masuk ke rumah Mael sehingga sampai ke halaman rumah pusaka keluarga Mael.

Tidak terhenti setakat itu, Man juga mengeluarkan dialog yang pada pandangan penulis mungkin untuk bergurau, tetapi membuatkan Mael berkecil hati.

Menurutnya, dia terpaksa mendapatkan Mael bagi memenuhi permintaan peminat salurannya yang semakin hari semakin bertambah.

Sementara Mael yang popular dengan lagu C.I.N.T.A dikatakan amat tersinggung dengan perlakuan Man, tambah lagi semua peminat sudah melihat rumah pusakanya yang terpampang dalam saluran YouTube Man.

Tanpa ragu-ragu, dia berhasrat untuk mengambil tindakan saman malu terhadap keterlanjuran Man. Banyak juga hujah dikeluarkan Mael dalam isu ini.

Sebagai jalan penyelesaian, Man akhirnya memadamkan rakaman ini walaupun tontonannya mencanak sejak kontroversi ini tercetus.

Malah, dia juga mahu bertemu Mael dan memohon maaf sekiranya Mael sudi memberikan ruang kepadanya.

Tanpa memihak kepada mana-mana pihak, penulis suka melihat supaya kedua-dua mereka berdamai. Buang yang keruh dan ambil yang jernih kerana kedua-dua mereka adalah ikon rock yang ramai peminat.

Penulis memuji tindakan Man yang aktif terbabit sebagai YouTuber sebagai alternatif untuk mencari rezeki.

Contentnya juga bagus kerana menampilkan artis seangkatannya yang menyepi atau semakin dilupakan.

Bagaimanapun, dia wajar berpegang kepada etika iaitu apa yang boleh dan tidak dibenarkan dalam contentnya.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 7:00 AM