Zaiton Sameon di aplikasi TikTok.
Zaiton Sameon di aplikasi TikTok.
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi veteran, Zaiton Sameon mencuri perhatian ramai pengikut di aplikasi TikTok apabila memuat naik video menyanyikan lagu popularnya, Kabut Serangkai Mawar di tengah kawasan banjir yang melanda kediamannya.

Zaiton ketika dihubungi berkata, itu adalah kali pertama kawasan kediamannya yang terletak di Kapar, Klang dilanda banjir.

"Disebabkan ini kali pertama banjir di kawasan ini, saya macam teruja dan seronok juga. Itu yang saya seronok berenang dan rakamkan video di TikTok," katanya kepada Harian Metro.

Zaiton yang menetap bersama keluarga angkatnya juga menyedari kediamannya dimasuki air sejak jam 3 pagi, hari ini.

"Saya menyedari rumah saya dimasuki air sejak jam 3 pagi tadi. Mujurlah di rumah ini, saya tinggal bertiga bersama adik angkat dan anak angkat saya.

"Jadi, dapatlah kami bertungkus lumus mengangkat dan menyelamatkan barang dengan memindahkan ke bahagian rumah yang lebih tinggi," katanya.

Dalam video yang dimuat naik di TikTok, kelihatan Zaiton sedang duduk di konkrit yang dikelilingi air banjir.

Lengkap berpayung putih, Zaiton yang tampil ringkas dengan kemeja-T serta seluar panjang hitam menyanyikan semula lagu popularnya itu secara 'miming', lengkap dengan gaya ala-ala membuat persembahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 3:36 PM