ZAITON Sameon. FOTO ArkiB NSTP
ZAITON Sameon. FOTO ArkiB NSTP
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon, 67, mengakui tidak terlepas daripada tanggapan segelintir pihak yang membuat andaian dia sudah tidak boleh menyanyi.

Menafikan perkara itu, Zaiton menjelaskan dia masih mempunyai kudrat untuk menyanyi dalam pelbagai genre.

"Sejujurnya, memang ramai yang membuat andaian saya sudah tidak boleh menyanyi. Namun, saya berharap persepsi itu ditepis kerana saya masih boleh membuat persembahan.

"Bukan saja menyanyikan lagu dalam Bahasa Malaysia, malah saya juga boleh menyanyikan lagu Hindustan, Bahasa Inggeris dan banyak lagi.

"Sebelum bergelar penyanyi, saya pernah membuat persembahan di kelab malam. Jadi, banyak pengalaman ditimba di situ," katanya kepada Harian Metro.

Zaiton juga bersyukur sedikit sebanyak tawaran menyanyi di majlis atau acara dapat membantu meringankan kos hariannya.

Baru-baru ini Zaiton menerima bantuan wang tunai RM3,000 melalui inisiatif hasil kerjasama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Sumbangan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar Zaiton diwakili ahli keluarga angkat penyanyi itu di Bukit Indah, Ampang.

Zaiton bersyukur sehingga kini dirinya terus mendapat perhatian termasuklah menerima bantuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakan industri seperti Zamani Slam dan ramai lagi.

Pada 14 November tahun lalu, Zaiton menerima kad Orang Kelainan Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, Zaiton pernah mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 2:52 PM