NOORDIN Search. FOTO Azhar Ramli
NOORDIN Search. FOTO Azhar Ramli
Ridzuan Abdul Rahman

Bandar Baru Bangi: Pemain gitar kumpulan Search, Noordin Mohd Taib mengakui ada pihak kurang senang dengan usaha dia dan adiknya, Kid mengeluarkan barangan Rockology Search: Kid'Din Collection Series pada 17 November lalu.

Produk yang dilancarkan menerusi Facebook Home Of Champions (HOC) itu mengandungi 17 barangan istimewa antaranya cakera padat kompilasi lagu berat dan balada terbaik Search yang dipilih sendiri oleh Noordin dan Kid.

"Saya buat kerja berlandaskan undang-undang dan bukan main hentam keromo. Orang pertama yang saya hubungi untuk projek ini ialah Datuk M Nasir kerana lagu-lagu ini berada di bawah penerbitan syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd.

"Saya kata pada beliau nak ambil lagu-lagu di bawah katalog Go Search Sdn Bhd dan dia suruh datang berjumpa kakitangannya, Jenni (Jennifah Johari) di pejabat Luncai Emas untuk urusan lanjut.

"Saya buat seperti yang disuruh. Boxset yang dibuat ini ikut undang-undang. Mereka yang terbabit tetap dapat hak selayaknya," katanya kepada Harian Metro.

Noordin berkata, banyak halangan ditempuhi untuk merealisasikan perkara ini, namun dia gembira apabila sambutan yang diterima amat menggalakkan.

"Ia bukan benda senang. Bila saya terbabit sendiri baru tahu benda ini susah. Tambah lagi dengan isu semasa yang kami lalui. Alhamdulillah kami dapat serap tekanan dan berjaya keluarkannya juga. Kami akan keluarkan lagi produk selanjutnya.

"Saya dan Kid sedang merancang banyak perkara. Apapun saya bagi peluang untuk dia berehat sekejap sehingga keadaan pulih," katanya.

Menurutnya, Kid yang kematian isteri, Noraznin Yusof akibat kanser darah myeloma tahap empat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), pada 29 November lalu adalah seorang yang kuat semangat.

"Dia banyak merujuk pelbagai perkara dengan saya. Sekiranya ada kelapangan, saya akan ke rumahnya di sini untuk bertemunya," katanya yang ditemui hadir menjayakan program Grup Lelong Barang Muzik (GLBM) di pusat beli-belah Evo Mall, di sini, hari ini.

Program yang berlangsung selama dua hari sehingga esok ini menyaksikan jualan peralatan muzik baharu dan terpakai pada harga murah dan berpatutan.

"Program ini pertama kali diadakan di Malaysia. Ia sangat bagus dan boleh diadakan lagi pada masa depan.

"Sebelum ini saya hanya menonton program sebegini yang berlangsung di luar negara menerusi Facebook," katanya yang melayani peminat di gerai Home Of Champions yang turut serta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 9:11 PM