Ahmad Firdous Raissuddin yang kini ditidurkan selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, Selangor, akibat Covid-19, awal pagi hari ini.
Ahmad Firdous Raissuddin yang kini ditidurkan selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, Selangor, akibat Covid-19, awal pagi hari ini.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Kini isterinya tinggal seorang saja di rumah. Dua anak mereka berusia 11 dan sembilan tahun tinggal bersama saya sekarang. Jadi, saya perlu memberikan sokongan dan kata-kata semangat. Mohon doa daripada orang ramai juga."

Demikian kata pelakon dan pelawak popular, Shuib mengenai abang iparnya, Ahmad Firdous Raissuddin yang kini ditidurkan selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, Selangor, akibat Covid-19, awal pagi hari ini.

Shuib ketika dihubungi berkata, dia memohon doa orang ramai agar keadaan Firdous yang juga abang sulung Allahyarham Siti Sarah itu segera stabil dan sembuh.

"Kalau boleh saya tak naklah cakap dia ditidurkan, tapi begitulah situasinya sekarang," katanya.

Menurut Shuib, isteri Firdous yang turut positif Covid-19 kini menjalani kuarantin di rumah mereka.

"Sebelum ini Firdous menjalani kuarantin di rumah bersama isterinya. Malah, sebelum ini sudah dua kali cubaan nak ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

"Kali pertama tahap oksigen okay dan tekanan darah naik balik. Jadi, tak lepas nak ke hospital. Kedua, dia pergi sendiri ke hospital dan sampai sana tidak diterima sebab untuk rawatan lanjut kena ada kriteria tertentu.

"Namun, semalam saya menghubungi juga ambulans dan minta juga dia ke hospital sekali lagi untuk dapatkan rawatan di sana. Alhamdulillah, keadaannya stabil. Tapi, tiba-tiba pagi tadi dapat panggilan kena masuk ICU," katanya.

Menurut Shuib, sebelum dimasukkan ke hospital, Firdous sangat lemah semangat dengan berita pemergian adiknya selain tidak dapat berjumpa buat kali terakhir.

"Dia rapat sangat dengan arwah isteri saya. Jadi, apabila Siti Sarah meninggal dunia dia sangat 'down'. Saya cakap kena kuat semangat.

"Apa yang berlaku, saya reda jadi dia pun perlu reda. Alhamdulillah, pemergian arwah memberi hikmah untuk semua orang," katanya.

Shuib berkata, abang ipar dan isterinya itu disahkan positif Covid-19 kira-kira seminggu lalu iaitu beberapa hari selepas dia dan Siti Sarah disahkan positif virus itu.

Shuib memaklumkan seluruh keluarga sudah negatif dan bebas wabak itu kecuali abang dan kakak iparnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 6:13 PM