ABANG Allahyarham Siti Sarah dimasukkan ke ICU.
ABANG Allahyarham Siti Sarah dimasukkan ke ICU.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Abang Allahyarham penyanyi Siti Sarah juga abang ipar pelawak Shuib iaitu Ahmad Firdous Raissuddin dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang, Selangor, semalam.

Shuib, 37, atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad menerusi hantaran di Instagram memohon doa daripada orang ramai bagi kesembuhan abang iparnya itu.

"Allah Maha Besar, Allah Maha Kuasa. Abang ipar saya iaitu abang kepada arwah dimasukkan ke ICU. Saya mohon mendokan Ahmad Firdous Raisuddin semoga diberi kesembuhan segera," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan tahap oksigen abang ipar Shuib semakin menurun namun masih dalam keadaan stabil.

"Sudah lapan hari abang ipar saya dikuarantin. Oksigen dia juga semakin menurun, tapi keadaan dia masih lagi stabil dan dirawat di Hospital Serdang," katanya.

Dalam kenyataan sama, Shuib berkata dia menjadi fobia dengan virus pembunuh itu dan menasihatkan abang iparnya supaya tidak menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

Shuib kehilangan isteri tercinta, Allahyarham penyanyi Siti Sarah akibat positif Covid-19 selepas bertarung nyawa selama tiga hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras, sejak jumaat lalu sebelum disahkan meninggal dunia pada Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 8:20 AM