AHMAD Firdous.
AHMAD Firdous.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Keadaan abang Allahyarham Siti Sarah Raissuddin iaitu Ahmad Firdous yang kini ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang, Selangor akibat Covid-19 hampir sama dengan Siti Sarah sebelum ini.

Suami Siti Sarah, Shuib, 38, dalam majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual malam tadi berkata, paru-paru Ahmad Firdous berada dalam kondisi sangat tidak baik.

"Sebab itulah saya tetap mahu teruskan sesi doa dan bacaan Yaasin pada malam ini," katanya.

Sebelum itu Shuib menerusi Instagram memaklumkan abang iparnya itu dimasukkan ke ICU hospital berkenaan dan ditidurkan pada jam 5 pagi semalam.

"Namun, kira-kira jam 11 pagi, kakak ipar menghubungi saya dan maklumkan keadaan suaminya tidak berapa baik.

"Doktor menjelaskan, situasinya hampir sama dengan arwah isteri saya," katanya.

Sehubungan itu, Shuib memohon orang ramai untuk mendoakan kesembuhan Ahmad Firdous yang juga abang sulung sulung Siti Sarah.

Menurut Shuib, hubungan Allahyarham isterinya dengan Ahmad Firdous sangat akrab.

"Semoga Allah SWT memberi kemudahan kepadanya. Abang ipar dengan arwah sangat rapat dan dia baik orangnya.

"Tapi ketika dia tidak sihat, semangatnya agak lemah. Jadi saya harap dengan bacaan Yassin dan doa pada malam ini, dia diberikan kekuatan untuk bangun dan berjuang. Insya-Allah," katanya.,

Sementara itu, Shuib turut memaklumkan dua pekerjanya disahkan positif Covid-19 dan berharap mereka kuat untuk melawan wabak berkenaan.

Terdahulu, Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat COVID-19 pada jam 5.13 pagi, Isnin lalu.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, jam 1.20 tengah hari, pada hari sama.

>

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 12:38 AM