SHUIB dan anak sulungnya, Uwais yang mirip wajah Siti Sarah. Gambar kanan, anak kedua, Talita.
SHUIB dan anak sulungnya, Uwais yang mirip wajah Siti Sarah. Gambar kanan, anak kedua, Talita.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Memang dia (ibu) ada kat rumah ni, tapi kita tak nampak. Tapi, Talita rindu dia,".

Demikian kata anak kedua Allahyarham Siti Sarah, Dzahira Talita Zahra, 8, dalam video yang dimuat naik di Instagram bapanya, Shuib, meluahkan rasa rindu kepada ibunya.

Dalam hantaran yang dimuat naik semalam, Shuib bersama ketiga-tiga anaknya selesai menunaikan solat Isyak bersama.

Pelawak yang kehilangan isteri tercinta itu juga memujuk hati ketiga-tiga anaknya dan berjanji akan memastikan anak-anaknya menjadi anak yang hebat.

"Jangan sedih-sedih. Daddy ada. Selagi daddy hidup, daddy akan pastikan anak-anak daddy ini menjadi anak hebat. Anak yang soleh, solehah," katanya.

Dalam hantaran sama, Shuib juga memujuk hati anak sulungnya, Uwais Alqarni, 10, yang masih menangis kerana rindukan ibunya.

"Macam muka ibu. Daddy kalau rindu ibu, tengok Uwais," menggambarkan wajah anak sulungnya itu yang mirip Sarah.

Selain Uwais dan Talita, anak ketiga pasangan itu, Ariq Matin, 6, nampak tenang.

Terdahulu, Sarah melahirkan cahaya mata keempatnya menerusi pembedahan pada 6 Ogos lalu dan diberi nama Ayash Affan.

Sarah disahkan meninggal dunia pada jam 5.13 pagi semalam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 12:27 PM