Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Shuib berjanji akan menjaga empat cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan isteri, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dengan sebaik mungkin.

"Arwah sempat hadiahkan saya dan anak menerusi kehadiran Ayash Affan yang dilahirkan Jumaat lalu. Arwah bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Ternyata Allah lebih menyayanginya," katanya ketika ditemui di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), di sini, hari ini.

Tiga lagi anak mereka ialah Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Matin, 6.

Sementara itu, jenazah Siti Sarah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, hari ini.

ALLAHYARHAM Siti Sarah bersama suami dan anak-anaknya.
ALLAHYARHAM Siti Sarah bersama suami dan anak-anaknya.

Shuib berkata, dia bersyukur apabila Allahyarham isterinya diberi peluang untuk dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan ibunya.

"Pada awalnya saya tak pasti sama ada urusan pengebumian dapat dibuat di lokasi sama arwah ibunya. Namun, sebaik tiba di sini saya bersyukur pihak hospital membenarkan jenazah isteri dikebumikan di sana. Entah kenapa saya terasa lokasi itu adalah tempat terbaik untuk arwah isteri saya," katanya.

Menurut Shuib, urusan tayamum dan solat jenazah akan diuruskan pihak hospital.

Terdahulu, Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) pada jam 5.13 pagi, hari ini.

Berita berkaitan

  • Siti Sarah mahu rahsiakan ibadah korban di Gaza
  • 'Bidadari syurga saya pergi buat selamanya'
  • Siti Sarah meninggal dunia
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 10:05 AM